Tuesday, June 28, 2011

Airmata, Janganlah Mengalir Lagi


Aku menangis paling teruk dulu bila arwah ayahndaku pergi menyahut seruan Rabbul Izzati. Seminggu aku menangis, siang dan malam. Baju terakhir yang arwah ayah aku pakai, aku peluk setiap masa dan ketika. Aku tidur dengan baju itu, kerana bau terakhir ayah ada di situ. Bayangkan, seminggu. Lost, sangat-sangat lost. (Maaf perojakan bahasa yang melampau)

Lama lepas itu, aku tak pernah menangis. Buatlah apa pun, sakitkan lah hati aku macama mana sekali pun, aku tak menangis. Huh, kebal time tu.

Kemudian aku kembali menangis setelah seminggu aku bergelar isteri. Maknanya seminggu selepas diijabkabul. Ya, aku tak menangis saat diijabkabul macam pengantin-pengantin perempuan yang lain. Aku menangis seminggu selepas aku dan suami dinikahkan. Pelik, kan. Aku pun rasa pelik. Selepas seminggu baru aku dapat feel untuk menangis (Betapa tak romantiknya aku). Malam tu, suami aku tidur awal. Atas sofa. Aku pergilah nak kejutkan dia, tengok dia tidur sangat nyenyak jadi aku duduk ajelah di sebelah. Lama aku renung dia, dari atas ke bawah kemudian pandanganku terhenti di mukanya. Aku tatap wajahnya, aku sedar mataku tak berkelip. Pehhh baru aku sedar aku jatuh cinta pada suami aku yang teramat sangat, malam tu. Tiba-tiba airmataku berderai-derai jatuh berlinang, menitis pula dekat atas mukanya. Kantoi..

Aku menangis lagi bila dua orang putera kami dilahirkan. Ini menangis gembira (masih lagi di dalam kategori menangis). Aku menangis melihat insan yang baru, nyawa yang baru yang datang dari kasih sayang. Kasih sayang Allah terhadap hambaNya, dan kasih sayang dari suami isteri. Sangat menakjubkan.

Maka selepas itu, aku makin kerap menangis. Aku menangis, merayu kepada Maha Pencipta supaya dipelihara anak-anakku dengan Islam, terpelihara dari fitnah dunia dan dijauhkan dari azab siksaNya. Aku menangis setiap kali ku panjatkan doa untuk anak-anakku. Anak adalah amanah, anak juga merupakan pelaburan. Pelaburan supaya kita mendapat keuntungan di akhirat kelak.

Aku menangis lagi, memikirkan apa jasaku kepada bondaku selama ini. Aku gerun memikirkan zaman mudaku yang terlalu banyak menyakiti hatinya tanpaku sedari (kadang-kadang dengan sedar pun ada, ego remaja waktu itu.. Astaghfirullah!). Ummi, maafkan lah aku. Memegang gelaran yang sama sepertimu, aku menginsafi betapa kasih ibu membawa ke syurga. Baru aku faham kini, kenapa ummi sering menangis dalam doanya.

Airmata, berhentilah berlinang. Aku malu dilihat anak-anak dan suami. Namun sebanyak mana pun aku cuba bertahan, ia tetap akan mengalir.



Airmata, janganlah mengalir lagi. Habis celak mataku comot nanti.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...