Wednesday, July 20, 2011

Kurniaan Dalam Samaran

Aku rasa macam nak cerita tentang sekarang ini kami semakin seronok tinggal di *sini*.

Tapi aku malas nak cerita, rumah kami di sini dekat dengan perkuburan. Bukan satu, tapi dua okey. Di belakang rumah, kalau naik tingkat atas memang nampak kubur. Kubur baru. Depan rumah pula, dalam jarak 1 km terbentang juga kubur. Ini kubur lama. Jadi, samada kami keluar dari jalan hadapan, ataupun jalan belakang, tetap akan melalui kawasan kubur. Namun Alhamdulillah, setiap kali melintasi kawasan tersebut setiap hari (mesti) sebab dua orang hero ini ke sekolah, samada Abang atau Adik akan mengingatkan kami supaya membaca "Al-Fatihah" untuk ahli kubur.

Tak perlu kot aku bagitahu, ini perkampungan Islam. Suasananya macam Darul Arqam dulu. Cuma kawasan ini lebih moden.

Pondok, pernah dengar sekolah Pondok? Ya, anak-anakku di sini. Tapi Pondok di sini, pondok batu.

Perlu ke aku cerita, di sini ada asrama untuk anak-anak yatim. Ada Pondok untuk warga emas. Ada banglo. Ada Pusat Kecemerlangan. Ada Travel and Tour. Ada Hotel. Ada Madrasah. Ada Kompleks Islam yang besar. Ada bistro. Ada ladang kelapa sawit. Ada ladang pisang. Ada ladang nanas. Ha, macam-macam ada...

Perlu ke aku cerita lagi, bahawa setiap malam akan ada kuliah Maghrib?

Dan aku malas nak tulis, betapa aku kagum dengan persekitaran di sini. Anak-anak perempuan sedari umur 2 tahun sudah diajar menutup aurat. Anak-anak lelaki, tak lekang dengan taqiyah (kopiah/songkok/ketayap) di kepala.

Aku malas juga nak cerita, setiap kali bertembung di jalanan hatta dalam kereta sekali pun, pasti akan ada ucapan Salam yang terbit.

Dan aku juga malas nak cerita bahawa tempat ini ada produknya sendiri, yang segala-galanya home-made. Roti, makanan sejuk beku, mee... Namakan saja. Yang pastinya Halal dan Tayyiba.

Aku juga rasa macam nak sangat cerita, di sini penuh dengan aktiviti agama. Ceramah, kuliyah, manaqib, rattib, maulid, tausiyyah.... MasyaAllah, apa lagi yang mahu aku nafikan betapa nikmat yang Allah beri pada kami sekeluarga.

Dan lagi, yang paling aku suka, sangat suka ialah setiap kali ada aktiviti-aktiviti seperti itu, semua orang tahu memainkan tanggungjawab masing-masing. Yang paling aku nampak dan sangat impress di sini ialah selepas acara, pasti akan ada jamuan makan. Kaum lelaki menyediakan hidangan (aku tak pasti, diorang masak sendiri atau guna khidmat katering...tapi aku yakin masak sendiri 98%) manakala remaja-remaja perempuan (Banat) yang memang dididik untuk menjadi Muslimah Salehah, akan mengatur hidangan. Selesai, berkemas. Semuanya dengan senyap dan teratur.

Dan bercerita pasal Banat, aku malas nak cerita betapa aku teringin untuk melawat tempat mereka bersantai.. Hehehe, tipu. Bukan bersantai, ini sebenarnya tempat mereka belajar. Namanya Hol Ummul Mukminin Saiyyidatina ******** Al-Kubra (terpaksa di starkan, nanti orang tahu perkampungan rahsia ini...ngeeee~~~). Betul aku teringin sangat nak masuk, tapi sampai sekarang belum dapat peluang. Aku pun tak tahu, kalau aku nak masuk tu untuk alasan apa. Takkan nak cakap, saja-saja teringin nak masuk? Tapi serius, senireka Hol tersebut memang unik. Ada kolam ikan, dan atas kolam ikan tersebut ada anjung kayu. Aku tengok dari luar sipi-sipi ajelah sebab kawasan ini berpagar batu. Tapi pagar batu itu pun cantik. Haiihh.... Satu hari nanti aku nak masuk juga.

Perlu ke aku cerita Banat di sini semuanya cantik-cantik dan comel-comel belaka, di sebalik tudung labuh dan jubah atau baju kurung... Yang setiap kali bertembung atau terserempak dengan aku, pasti akan menguntum senyum dan menebarkan Salam? Atau setiap kali aku melintasi Hol mereka, aku akan nampak diorang sapu sampah, atau sedang masak-masak dengan riangnya, atau di dalam bilik berpintu kaca sedang menjahit? Itu je yang aku dapat tengok, pasti ada yang lebih menarik lagi di dalam sana kan...Ngeee~~~ memang ayu.

Perlu ke aku huraikan lagi, bila ada kesempatan sewaktu aktiviti atau program keagamaan berlangsung, aku dapat dengar yang para Banat ini sedang bercakap tentang sains, komputer, kimia, tesis, eksperimen, final project, mid sem assignment....dan perbualan di selangi dengan percampuran bahasa... Ya Allah, Ya Allah...

Perlu ke aku cerita semua ini?

Dan yang aku betul-betul nak cerita sekarang ini ialah aku bersyukur kerana berada di sini. Aku sedar, inilah kurniaan yang Allah beri untuk keluarga kami. Kurniaan yang aku tak nampak dulu, yang berada di dalam samar. Terima kasih suamiku kerana membawa kami ke sini. InsyaAllah inilah destinasi kami. (Macamlah suami aku faham, dan macamlah suami aku baca ni... Muehehe)







Wednesday, July 13, 2011

Andai Esok Dapat Diduga

Di daerah ini.
Aku pun tak pasti apakah perasaan ini. Biarpun bukan sendirian, namun masih terasa keasingannya.
Walau tidak sendirian, aku masih terasa kesepian.

Wahai hati yang berbicara,
Tenanglah.
Puas ku memujuk hati, ini hanya sementara.
Akan datang waktunya semua akan kembali seperti biasa.

Sungguh aku rindukan dia.
Bukan lah aku ini seorang yang perlu dibelai manja sentiasa. Bukan. Namun hati yang kerinduan merenggut tangkai ketabahan. Wahai jiwa, teruslah tabah!



Aku di *sini*.
Tak tahu berapa lama lagi aku mampu bertahan. Aku mengharapkan apa yang kami rancangkan demi masa depan keluarga ~ aku, dia dan anak-anak serta bakal anak-anak..(hehe)...akan berjalan dengan jayanya, dengan izin Ilahi. Aku menunggu saat itu. Sangat mengharap. Aku sudah masak dengan pelbagai ujian, rintangan dan dugaan.

Benar dugaan mematangkan pemikiran, tetapi terlalu banyak dugaan kadang-kala mematahkan kekuatan. Aku tak mahu itu berlaku. Tolonglah aku ya Allah. Kawan-kawan yang terbaca coretan ini, tolong doakan semoga aku diberi kekuatan lebih lama lagi. Biarlah ribut dan taufan, tsunami dan el-nino menguji, doakan aku terus tabah. Tapi aku harap janganlah ada. Tak sanggup!

Aku mahu terus bersama suamiku yang tercinta, dan anak-anak serta bakal anak-anak. Sampai akhir nyawaku nanti. InsyaAllah.

Andainya hari esok dapat kuduga perjalanannya, aku tak akan risau. Semua manusia pun begitu. Namun yang akan berlaku tidak dapat kita lihat. Tidak dapat kita duga. Kita hanya merancang dan tentulah rancangan kita, kita rasakan itu yang terbaik buat kita. Namun Allah mengetahui apa yang lebih baik.

Allah Maha Mengetahui. Sesungguhnya Dia yang meluluskan setiap perancangan. Maka doaku semoga perancangan kami diluluskan, mudah-mudahan.


Aku tak tahu kenapa aku tulis ni. Emo, mungkin... :p







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...