Sunday, December 9, 2012

Kalaulah Ayah Masih Ada...


Laju betul airmata ini turun. Dari petang tadi, hati sangat sayu dan sebak.
Macam-macam yang bertandang dalam benak fikiran.

Sungguh aku tak mampu untuk hadapi semua ujian ini. Dugaan ini terlalu berat untuk aku pikul sendirian. Tapi aku juga enggan melibatkan orang lain dalam kemelut jiwa ini.

***********************

Bertahun-tahun memendam rasa dan memujuk hati untuk bersabar....tapi sebagai manusia biasa, banyak manalah sangat sabar yang mampu aku pertahankan.

Saat-saat begini, aku sering terfikir kalaulah ayah masih ada...tidaklah begini jadinya pada hidup aku. Ayah ada untuk membantu. Ayah ada untuk dijadikan sumber rujukan. Ayah ada untuk aku berlindung. Ayah ada untuk mempertahankan aku dari disakiti. Ayah tempat bermanja yang abadi. Ayah yang selalu cuba memberikan yang terbaik. Ayah yang sentiasa ada bila aku hilang harapan. Ayah yang sentiasa mendorong aku untuk menjadi diri sendiri. Ayah akan sentiasa menyelesaikan segala kekusutan. Ayah ada untuk memimpin tanganku agar tak sesat dan tergelincir.

Tapi itu...semuanya sekiranya Ayah masih ada. 

Hakikatnya Ayah dah lama tiada. 

Aku sendiri sedar banyak kesalahan dalam pertimbangan hidup yang aku lakukan semenjak ketiadaan Ayah. 

"Ini" salah satunya.

Ayah memang tak pernah menentang segala pilihan dan keputusan aku, tapi aku pasti untuk pilihan 'ini', kalau Ayah masih ada, Ayah lah yang akan menjadi watak utama yang menentang. Ayah dah pernah kata, dalam hal-hal sebegini 'jangan'. Waktu Ayah masih ada, 'jangan' Ayah hanya pada orang lain, bukan pada aku kerana aku masih mentah dan belum erat mengenal dunia. Setelah Ayah tiada, aku jadi lupa pada 'jangan' tersebut. Lalu tersasar membuat tindakan kerana terlalu percaya pada hati yang remaja.

Kesannya, 'ini' yang aku hadapi sekarang. Baru aku tahu kenapa Ayah pernah kata macam tu dulu, walaupun bukan pada aku. Oh Ayah! Aku sangat tersiksa kerana melanggar 'jangan' Ayah. 
Kepada siapakah lagi aku hendak mengadu selain dari Allah... dan Ayah?


Ayah. Datanglah sekejap dalam mimpi anakndamu ini. Aku rindu pada wajah suci Ayah. Pada senyum manis Ayah.


Kasih Ibu membawa ke syurga. Kasih ayah membawa ke syurga. Tiada beza.


Al-Fatihah.






Friday, November 16, 2012

Biar Hati Berbicara





Terjaga dari tidur yang tidak lelap. Jam di telefon bimbit yang terletak di penjuru meja menunjukkan waktu 2.47 pagi.
Heba bingkas bangun. Tak semena-mena airmatanya jatuh, mengalir deras di pipi lembutnya yang bersih dan putih. Hatinya sebak, Fawwaz sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah. Bukan perkara biasa, namun kali ini hatinya sedih sungguh.

Selesai sujud rakaat terakhir di sepertiga malam itu, Heba masih berteleku di kaki sejadah. Dia cuba untuk redha. Cuba untuk meyakini bahawa Allah merancang yang terbaik untuk dirinya, walau dia mendoakan sesuatu yang lain.

Dia tidak kesal, cuma terkilan. Dia cuba untuk merelakan, namun hati wanitanya mengatakan jangan. Dia mahu kebahagiaan untuk dirinya. Dia juga mahu Fawwaz bahagia. Dia mahu pergi dari Fawwaz, namun dia mahu Fawwaz kembali padanya. Segala macam perasaan saling bertukar, bercampur baur. Heba sendiri bingung.

Dia tahu, tak guna merayu untuk Fawwaz kembali andai hati Fawwaz bukan untuknya lagi. Di bibirnya mengucapkan rela untuk dilepaskan, namun hatinya mengatakan tidak. Walau dia tahu andainya dia tidak lagi menjadi bidadari Fawwaz di dunia ini, dia masih boleh meneruskan hidup tapi dia amat sedar situasi hidupnya tanpa Fawwaz nanti mungkin amat berbeza. Dia tahu, tapi dia masih buntu.

Sudah habis ikhtiar Heba memenangi hati Fawwaz selama ini. Sudah bergunung doa dipanjatkan, bermacam cara dilakukan namun hampa. Fawwaz masih berpaling. Puas Heba mencari salah diri. Sebolehnya dia tidak mahu menyalahkan Fawwaz di dalam hal ini.

Malam itu, Heba menangis semahunya. Menangis sendirian, tanpa teman. Hanya Allah tempat mengadu dan meluah perasaan. Heba mengharapkan petunjuk dari Yang Maha Kuasa untuk membuat keputusan. 
Di saat ini, sungguh dia kecewa. Di saat ini, hatinya pecah seribu luka. Menyiksa jiwa.


# Heba
Shubra, Egypt.
17 November 2012.

****************

"...If things are happening according to your wish, you are lucky.
But if they are not, you are very lucky
....because they are happening according to Allah's wish..."







Monday, November 12, 2012

Kadangkala, Rasa Itu Ada




Kadangkala, rasa bimbang aku tidak cantik dan tidak hebat di mata suami tercinta. Ada rasa bimbang ditinggalkan, bimbang akan ada persaingan. Namun aku percaya Allah tahu yang terbaik, betapa aku berusaha menjadi isteri yang cantik dan hebat di matanya agar dia sentiasa rindu dan cinta.




Kadangkala, rasa takut memikirkan kehidupan dua putera di masa hadapan, dengan pelbagai teknologi dan kemajuan mengikut arus zaman. Rasa takut mahu menambah ahli keluarga jika memikirkan kesakitan ketika melahirkan. Tetapi cepat aku sedari itu adalah syahid dunia.


Kadangkala. rasa rendah diri kerana bukan bergelar wanita berkerjaya. Rasa tidak setaraf dengan mereka yang bergaji 4 ke 5 angka, sedangkan aku menumpang rezeki suami. Tapi cepat-cepat aku bersyukur, kerana aku tahu menjadi surirumahtangga adalah pekerjaan paling hebat dalam dunia. Dan besar pahalanya.



Syurga.


"...Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredhainya serta menjaga sembahyang dan puasanya..." ~ (Riwayat Muaz bin Jabal)




"...Adapun wanita-wanita solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) & memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka..." ~ An-Nisa':34





‎"...Apabila seorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, maka dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai..."







"...Asal cinta milik ALLAH, perginya cinta dengan izin ALLAH, hilangnya cinta atas kehendak ALLAH, dicintai dan mencintai anugerah dari ALLAH..." 






Aku sangat mahu menjadi Penghulu Bidadari di syurga untuk suami yang tercinta. Sangat, amat!








Thursday, November 1, 2012

Lady Greensleeves


          Aku jatuh cinta dengan lagu-lagu instrumental sejak dari sekolah menengah. Trumpet Kenny G, piano Kitaro dan saksafon Jari. Suka sangat. Untuk dengar lagu-lagu ini, perlu ada albumnya. Belum ada teknologi untuk muat-naik dari sumber elektrikal. Jadi ikhtiar sendiri, kumpul duit belanja harian sekolah untuk beli kaset. Okey,  waktu tu belum ada cd, mp3 atau Youtube bagai ye.

         Dalam banyak-banyak lagu, terselitlah sebuah lagu yang tajuknya tak diketahui. Cari punya cari, baru tahu tajuknya Greensleeves. Tapi setakat itu sajalah, sebab masa tu belum ada internet dan belum ada  kaedah sofistikated di hujung jari untuk setiap maklumat. Jadi Greensleeves hanya terngiang-ngiang di telinga saja. 

        Selepas berbelas-belas tahun lamanya, baru aku tahu Greensleeves ialah sebuah lagu klasik dari zaman pemerintahan Inggeris dan sebenarnya lagu itu berlirik! Oh my...mati-mati sebelum ini aku ingatkan Greensleeves hanyalah sebuah lagu yang bernota muzik saja, tanpa lirik.

       Dan lagi oh my! ialah sejarah Greensleeves itu datangnya dari kisah cinta diraja. Bila dengar liriknya, aku pun tertanya-tanya mengapa namanya "Greensleeves a.k.a Lengan Hijau".

Ya lah, kenapa Greensleeves?
Ini penerangan dari tetamu jemputan untuk entry ini. Tetamu jemputan ni berbahasa Inggeris ya. Dipersilakan Mr.Google...

"Greensleeves" is a traditional English folk song and tune, a ground either of the form called a romanesca or of its slight variant, the passamezzo antico.

There is a persistent belief that Greensleeves was composed by Henry VIII for his lover and future queen consort Anne Boleyn. Boleyn allegedly rejected King Henry's attempts to seduce her and this rejection may be referred to in the song when the writer's love "cast me off discourteously". However, Henry did not compose "Greensleeves", which is probably Elizabethan in origin and is based on an Italian style of composition that did not reach England until after his death.


One possible interpretation of the lyrics is that Lady Green Sleeves was a promiscuous young woman and perhaps a prostitute. At the time, the word "green" had sexual connotations, most notably in the phrase "a green gown", a reference to the way that grass stains might be seen on a woman's dress if she had engaged in sexual intercourse out-of-doors.
An alternative explanation is that Lady Green Sleeves was, through her costume, incorrectly assumed to be immoral. Her "discourteous" rejection of the singer's advances supports the contention that she is not.
In Nevill Coghill's translation of The Canterbury Tales, he explains that "green [for Chaucer’s age] was the colour of lightness in love. This is echoed in 'Greensleeves is my delight' and elsewhere."

# Terima kasih Mr. Google yang bijaksana.

 
My Lady Greensleeves, 
by Dante Gabriel Rosetti,1864

Greensleeves

(Poss. Henry VIII of England, 1500's.)

Alas, my love, you do me wrong,
To cast me off discourteously.
For I have loved you well and long,
Delighting in your company.

Greensleeves was all my joy
Greensleeves was my delight,
Greensleeves was my heart of gold,
And who but my Lady Greensleeves.

Your vows you've broken, like my heart,
Oh, why did you so enrapture me?
Now I remain in a world apart
But my heart remains in captivity.

I have been ready at your hand,
To grant whatever you would crave,
I have both wagered life and land,
Your love and good-will for to have.

If you intend thus to disdain,
It does the more enrapture me,
And even so, I still remain
A lover in captivity.

My men were clothed all in green,
And they did ever wait on thee;
All this was gallant to be seen,
And yet thou wouldst not love me.

Thou couldst desire no earthly thing,
but still thou hadst it readily.
Thy music still to play and sing;
And yet thou wouldst not love me.

Well, I will pray to God on high,
that thou my constancy mayst see,
And that yet once before I die,
Thou wilt vouchsafe to love me.

Ah, Greensleeves, now farewell, adieu,
To God I pray to prosper thee,
For I am still thy lover true,
Come once again and love me.





Tuesday, August 7, 2012

Kekasihku Muhammad, Perawat Hatiku, Yang Dipuji Dipuja




                   



عبد الرحمن محمد ~


لو كان بيننا الحبيب 



يا ربي قد غفلنا وكلنا طمع

في عفو وفي كرم وفي اعتاق

وجنة مع سيد البشر
ندعوك... ندعوك ربي من الأعماق

لو كان بيننا الحبيب # لدنا القاصي والقريب
من طيبة قبل المغيب # طالباً قرب الحبيب

بقربه النفس تطيب # وتدعوا الله فيجيب
أنوار طه لا تغيب # بلغنا لقاه يا مجيب

هداك الكون الرحيب # رحمة الهادي القريب
حديثك النهر العذيب # جوارك الغصن الرطيب
فدتك روحي يا حبيب # محمد مكرم الغريب
بقربك الروح تطيب # يا رحمة للعالمين

يا حبيبي يا محمد # يا طبيبي يا ممجد
أنت ذوالفضل المؤيد # جل من صلى عليك



~ ABDEL RAHMAN MOHAMED ~


SEKIRANYA KEKASIHMU MASIH BERSAMA KAMI 



Wahai Rabbku, kami telah lalai lupa,

Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan,

Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu dan kebebasan daripada neraka-Mu,

Dan juga kami tamakkan syurga, yang dimasuki bersama-sama penghulu seluruh manusia.

Kami mohon pada-Mu.

Memohon dengan sesungguhnya, wahai Rabbku,

Dari sudut hati kami yang paling dalam.


Kalaulah Kekasih-Mu, masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah
dengan haruman Baginda, sebelum hilangnya,

rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan Kekasih-Mu.


Berada berhampiran Baginda, jiwa turut menjadi harum

Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah, akan diperkenankan,

Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna,
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda,
Wahai Rabb yang Maha Memperkenankan doa hamba...

Hidayahmu kepada alam merata meluas,

Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan pemberi hidayah,

Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih,
Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.


Kutebus diriku dengan dirimu, wahai Kekasihku,

Nabi Muhammad yang mulia, yang asing,

Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum,
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Rabb kepada seluruh alam....


Wahai Kekasihku, wahai Nabi Muhammad

Wahai perawat hatiku, wahai yang dipuji dipuja

Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.



"...Kekasihku Muhammad,
Perawat Hatiku, 
Yang Dipuji Dipuja. 
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui..."












Sunday, July 15, 2012

Update Tanpa Tajuk




Dunia ini bermacam-macam rasanya. Pahit, manis, tawar, masam, masin.

Dunia ini berputar-putar rentaknya. Jatuh, bangun, berdiri, berlari.

Allah Maha Adil.

Dia mahu menguji sejauh mana keimanan hambaNya di dalam menghadapi ujian kurniaanNya. Tidak diberi manis semata-mata tanpa ada rasa pahit, tawar, masam dan masinnya. Begitulah sebaliknya.

Tidak dibiarkan selamanya jatuh tanpa dibangunkan semula untuk berdiri dan berlari kembali. Begitu juga sebaliknya.

Aku faham semua itu. Namun kadangkala hati masih tertanya-tanya, dan disulami rasa bimbang pada ujian.


Update tanpa tajuk. Sekadar menjenguk halaman ini yang dah lama terbiar. Sibuk kononnya.






Friday, March 30, 2012

Perginya Seorang Putera


Al-Fatihah.




Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali.


Menerima berita kemangkatan Almarhum Dato' Seri Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah memang mengejutkan kami sekeluarga. Pukul 1.30pagi tadi selepas balik dari majlis zikir di Bukit Damansara, baginda mangkat akibat asthma dan alahan. Hujan mengiringi kemangkatan baginda Almarhum pada subuh Jumaat yang hening.

Almarhum yang kami kenali, yang kami panggil Shaykh Raja, secara peribadinya memang seorang putera yang sangat baik, mementingkan adab dan tatasusila, gemar berzikir, mesra rakyat dan sangat merendah diri.

Subhanallah, Allah memberikan aku peluang mengenali Almarhum Shaykh Raja melalui suamiku yang tercinta. 

Antara gurauan Almarhum yang aku paling ingat di awal perkahwinan aku dan suami.

"AJ, your husband treat you good?" katanya dengan senyum di sebelah suamiku. Aku pun senyum juga. Malu.

"Kalau dia nakal, bagitau saya.." sambungnya sambil menyucuk-nyucuk bahu suamiku. Suamiku tak kata apa-apa. (Sebab dia tak faham Bahasa Melayu)

Kini tinggallah Datin Seri Noraini Jane Tan Sri Kamarul Ariffin meneruskan hidup tanpa suami tercinta di sisi (we know you are strong, Kak Jane), dan tiga anaknda Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah, Puteri Emina Aliyyah dan Puteri Bainunisa Safia meneruskan hidup tanpa ayahnda mereka yang tersayang.


Tiada kekayaan dan kemewahan yang dibawa bersama, tiada gelaran kebesaran dan pangkat dunia yang diusung bersama, tiada harta yang disisip bersama, tiada ahli kerabat dan zuriat diraja yang disemadi bersama....hanyalah amal-saleh, sedekah jariahnya, ilmu yang dikongsi dan doa dari anaknda yang menjadi peneman menerangi tempat semadi di alam sana.

Tenanglah Shaykh Raja, semadilah dengan aman, semoga tidurmu kini menjadi tidur yang amat tenang dan aman. Tidurlah seperti pengantin. InsyaAllah.


******************


~ Almarhum Shaykh Raja akan menjadi ingatan kami sekeluarga setiap kali kami memanggil NAMA SEBENAR anak kedua ku (Adik) kerana nama itu diberi oleh Almarhum. Mudah-mudahan terhimpun berkat di sebalik nama yang indah itu. Amin ~


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya, semoga Almarhum tenang di sana, ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal saleh.

Al-Fatihah.






Monday, January 23, 2012

Janji Ilahi

* Entry ini tiada sebarang unsur 18sx pun*


Satu malam yang dingin.
Bintang bertaburan di angkasa. Bulan dengan megah menunjukkan cahayanya.
Kedua-dua sang putera kecil yang dilahirkan untuk menjadi pejuang agama sedang lena diulit mimpi indah. Menunggang kuda sambil membawa pedang jihad fisabilillah. Hanya tinggal sepasang suami isteri duduk berduaan di tepi jendela kamar dengan langsir yang terbuka.


"Abang sibuk sangat sekarang. Maafkan abang kalau awak tak selesa dengan kesibukan melampau abang macam ni. Tapi abang janji, tak lama. Bagi abang masa sampai hujung tahun ni ya"

Aku diam. Angguk. "Tak apa abang. Saya faham"

"Abang tau kebelakangan ni, abang tak bagi tumpuan penuh untuk awak dengan anak-anak" dahiku diusap lembut. Aku rasa tenang sekali.

"Saya faham. Abang jangan risau. Saya doakan semuanya baik-baik. Abang jaga kesihatan..."

...tanganku dikucup. Hatiku sebak. Ketenangan yang aku rasa sekejap tadi mula berkocak.

"Banyak hal yang perlu abang selesaikan. Abang kena uruskan segera..takut tak sempat. Mana tau nanti abang mati. Abang tak mau tinggalkan awak dengan anak-anak terumbang-ambing"

Kerongkongku tersekat. Hidungku mula terasa pedih. "Kenapa abang cakap macam ni?" Mataku dah berkaca. Hai hati, tabahlah. Jangan emo sangat, pujuk diriku pada hatiku sendiri.

"Eh eh...awak menangis ya? Sayang rupanya awak dekat abang ya" suamiku ketawa-ketawa sambil memegang mukaku.

"Abang ni, buat saya risau tau" aku pura-pura menepis tangan suamiku. "Jangan cakap pasal mati-mati lagi tolong..." Hatiku berdegup kencang. Lengannya ku paut.
Memang 30++ tahun jarak usia yang terlalu jauh bezanya antara kami, menjadi faktor kegentaran jiwaku untuk memikirkan bahawa dia akan pergi dulu sebelumku, walau semua tahu ajal tak mengenal usia.

"Kan semua yang hidup, memang akan mati. Kita ni semua lahir adalah untuk mati.." Suamiku menarik nafas. "Mati itu pasti. Itu janji Ilahi. Cuma sebelum abang mati, awak jadilah isteri yang solehah, jangan suka melawan cakap abang. Didik anak-anak kita baik-baik.  Awak kan selalu cakap abang dah tua.. Kalau abang mati pun, bolehlah abang mati dengan aman" aku dipeluknya erat.

Memang sesekali aku suka usik dia veteran. *Veteran-veteran pun, tetap sihat dan kuat tau*
Kali ni tak cover dah, memang meleleh terus airmata aku.


*****************

Kata-kata tersebut sering bermain-main dibenakku. Aku tak tau nak fikir macamana kehidupan aku dengan anak-anak kalau janji Ilahi terjadi dalam masa yang begini. Bila janjiNya tiba, tidaklah dilambat atau dicepatkan walau sesaat. Redha atau tidak, itu adalah aturan takdir. Pasrah atau rela, itu adalah yang tertulis di ruang atas sana.

Janji Ilahi itu rahsiaNya yang Maha Besar.

Dulu pun sekali.
Aku tak pernah terlintas akan kehilangan Ayahku dalam masa yang terlalu singkat. Namun Ayah tetap pergi menemuiNya.
Hilang separuh nyawaku waktu itu.
Tapi yang pergi, tetap pergi. Yang hidup, perlu terus hidup.

Yang hidup perlu bersedia untuk mati. Kerana kematian adalah hakikat dalam setiap kehidupan.

Bersediakah aku untuk mati?
Bersediakah aku untuk menghadapi kematian?
Sedia atau tidak, ia tetap akan datang.

Semoga hidup dan matiku di dalam iman. Juga doa untuk kita semua. Amin Ya Allah.


**Perbualan di atas adalah perbualan antara aku dan suami di dalam bahasa asing yang telah di Melayukan. Aku memang teringin sangat nak panggil suami dengan panggilan Abang macam orang lain. Abang..sweet kan, sweet kannn?? **





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...