Sunday, October 20, 2013

Burung Di Tangan


Syukur.

Tak, ini bukan nama orang. Ini adalah syukur yang berlawanan dengan kufur (boleh ke explain macam tu?)

Dah lama I nak tulis pasal ni, tapi tertangguh-tangguh. Malas nak mengarang sebenarnya. Okey gaya bahasa untuk penulisan kali ni mungkin berbeza dengan gaya yang sebelumnya. Mungkin agak kasar sikit, dan mungkin ada part-part yang agak lembut sikit, lepastu mungkin ada yang berkias-kias gaya prosa Melayu Klasik sikit... ha ha ha. Ntahapahapa.


A Bird in the Hand is Worth Two in the Bush - biasa dengar, kan?


Gambar google.

Comel betul burung ni. 

Ingat lagi dulu-dulu-dulu-dulu zaman belum akil baligh, I ada penyakit (lah sangat) tak boleh tengok benda kecil-comel. Tak tahu lah kenapa, mungkin sebab tengok tv banyak sangat kot walaupun arwah ayah tak bagi (errr..kantoi) I terpengaruh dengan cerita-cerita fantasi. Salah satunya, I jadi geram bila nampak ada sarang burung, nescaya I akan panjat pokok tu (kahkahkah, selalu kena jerit dengan Ummi, dah macam jantan katanya!). Kalau ada baby burung dalam sarang tu, I akan ambil sarang burung tu, senyap-senyap bawa masuk rumah. Konon-konon mahu bela anak burung yang masih togel belum tumbuh bulu lagi tu. Simpan sampai 2-3 hari, lepastu tengok-tengok dah mati sebab kena hurung dengan semut. Oh, sangat rasa bersalah, tahu? Tapi tak serik-serik, buat lagi perangai serupa itu sehinggalah menjangkau 2-3 kali kematian.
Ampunkan kezalimanku Ya Allah.

Eh kenapa I cerita pasal kejahilan I dulu ni? Cerita dah keluar topik.

Sambung balik.
"Better to have something that is certain than take a risk to get more, where you might lose everything"

Itu laaaaaah salah satu cara bersyukur.

Hidup kita ni jangan suka membandingkan rezeki yang kita miliki dengan orang lain. Apa yang kita dapat, itulah yang terbaik buat kita- pada masa, waktu dan ketika itu. Bersyukur, dan berusaha lagi. Kalau dah berusaha banyak pun, masih setakat itu juga, maka usaha lagi. Gandakan usaha  dari hari ke hari - dalam bahasa kasar yang Ani cakap pada Abang Jamil - begitulah seterusnya setiap hari sampailah Abang Jamil mampus. Kahkahkah.

I ada kenal orang-orang yang kerjanya asyiklah mengeluh dan bersungut. I nak share satu cerita, terjadi di kalangan orang yang dekat dengan I, yang mana betul-betul buat I terfikir, betapa perlunya kita semua bersyukur. Dan ambil iktibar dari idiom burung di tangan tu.

Kisah benar, cuma nama je tak benar. I tukar bagi jadi sedap sikit.

Elizabeth (hambik, mentang-mentang idiom dalam Bahasa Inggeris, terus nama minah salleh you!) selalu mengadu pada I, betapa sedih kehidupannya, dan membezakan betapa beruntungnya kawan-kawan yang lain. Kenapa pula macam tu kan. I bagitahu dia, jangan membezakan nasib kita dengan orang lain. Rezeki masing-masing tak sama. Kalau kita tengok kelebihan orang, memang kita tak akan pernah cukup.

Sia-sia belajar tinggi-tinggi tapi lepas kahwin, duduk rumah jaga anak-anak. Pejabatnya di dapur, dan pagi-pagi tak merasa bersarapan dengan teman sepejabat sebelum masuk kerja. Rugi, tak manfaatkan ilmu yang dipelajari sewaktu di universiti dahulu. Tiada pendapatan sendiri, hanya bergantung pada nafkah daripada suami. Makanya I katakan kembali, Elizabeth, come-on, sebenarnya kamulah yang sangat beruntung, tahu? Tak semua ibu dan isteri yang berpeluang menjaga suami dan anak sendiri sepenuh masa. Cuba tanya berapa ramai yang mahu berada di tempat kamu, tetapi kerana mahu menolong suami menampung perbelanjaan rumahtangga, dikorbankan masa 5 hari seminggu berhempas-pulas di kejauhan dari keluarga dan hanya ada 2 hari bersama-sama.

Ya, tahu, ujarnya. Tapi pengorbanan sebegitu, kamu semua dapat ganjarannya bukan? Setiap 25hb akaun kamu terisi. Aku? Hanya mengharap pemberian suami. Dan setiap orang masing-masing memandu kereta yang fancy-fancy. Aku? Hanya kereta buruk pemberian suami inilah yang aku guna menghantar-mengambil anak ke sekolah, ke pasar, ke klinik. Dan semua dari kamu masing-masing ada rumah atas nama sendiri. Aku? Hanya menumpang di rumah suami. Stress, tahu? Aku mahu duit sendiri, kereta sendiri dan rumah sendiri. 

I diam, cuba menghadam. Bagi I, dah ok sangat macam Elizabeth tu. Tak payah kerja, tapi setiap bulan dapat duit dari suami. Dapat kereta lagi, free, tak payah fikir nak bayar loan dekat bank setiap bulan. Kereta buruk katanya? Buruk ke hapa, Wald kot! Rumah? Walaupun agak old-skool sikit, tapi banglo! 

Dan tak lama lepas tu, kami lost-contact. I percaya, Elizabeth sekeluarga sudah ke luar negara memandangkan tugas suaminya yang memerlukan mereka kerap berpindah. Sebenarnya suami Elizabeth memang seorang yang berada dan berkemampuan. Tapi Elizabeth ni dok merungut-rungut juga. Tak faham lah manusia. Banyak betul mahunya.

*****************************

9 bulan berlalu.

Baru-baru ni, I terserempak dengan Elizabeth di sebuah pasaraya. Elizabeth berubah gaya, makin cantik tapi ada kelesuan di matanya. I bertanyakan khabarnya, dan ke mana menghilang 9 bulan lamanya.

Elizabeth pun bercerita. Bukan ke luar negara, tapi dia sedang berusaha membina kehidupan sendirian yang diangankan. Rungutan demi rungutan, akhirnya Elizabeth 'berjaya' mengejar impian untuk memiliki kerjaya, kereta dan harta.

Alhamdulillah, jadi tercapailah cita-cita kamu ya?

Elizabeth tunduk.
Belum, aku masih mencari kerja, tiada kereta dan tinggal di bilik sewa.
Dan aku sudah tidak punya keluarga.
Aku dah tak punya apa-apa.


Matanya berkaca. Dan kaca-kaca itu berderaian di pipinya.



Surah Ibrahim : 7


Dan ingatlah ketika Rabb-mu berfirman, barang siapa yang bersyukur maka akan Aku tambahkan lagi (nikmat) dan barangsiapa yang kufur (ingkar) maka (ketahuilah) azabKu amatlah pedih



I telan air liur. Dan-dan rasa pening.


Ya Allah, jadikanlah kami sebagai hambaMu yang sentiasa bersyukur. Dan jauhkanlah kami dari sifat kufur.
Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.








Tuesday, October 1, 2013

Passport Siap Kurang Dari Dua Jam



Lantaran kehabisan nombor giliran hari Ahad, maka awal-awal pagi sesudah Subuh Isnin hari tu, aku dah tunggu depan pejabat imigresen. Ambil nombor, isi borang renew.......dan kurang dari dua jam, passport aku siap. It's not bad actually to have white background pada gambar passport. Kira okeylah.
Senyum lebar aku, syukur Alhamdulillah. Risau weh, kalau passport tak siap camana nak fly keluar? Sedangkan tiket katerbang pergi-balik dan hotel dah tempah.

Pergi tak lama, 3D2N saja dengan boss sebab ada urusan rasmi (lah sangat). Hari pertama sampai, hantar barang ke hotel lepastu terus keluar, sampailah Maghrib. Balik hotel semata-mata mandi, solat dan tidur. Hari kedua, lepas breakfast sekali lagi keluar, sampai malam juga. Balik hotel, mandi, solat dan zzzzzzz.... Hari ketiga dah nak check-out, so sama macam hari kedua, lepas breakfast terus keluar bawa luggage, minta driver teksi tunggu sementara nak selesaikan urusan kemudian terus pergi airport untuk penerbangan balik ke Malaysia. 

Dan selamatlah sampai ke tanah air yang tercinta ini kembali.

Urusan dipermudahkan Alhamdulillah, semoga ada kesempatan lagi untuk meneroka, belajar dan mencipta pengalaman baru di bumi Allah yang luas ini. Kata orang, terima kasih daun keladi.. Kan kan kannn

Seperti biasa cerita aku standardnya macam ni saja, tak ada penerangan yang detail tengahari ini aku makan apa, petang aku pakai baju apa, malam aku tidur gaya apa.

Gambar pun tak ada. Yang ada pun, ini ajelah.


p/s -  Ini pun ehsan google. Haha.







Saturday, September 21, 2013

Pejabat Imigresen Sabtu-Ahad Dibuka, Tapi.....



Rezeki datang, tapi passport dah expired. So aku decide nak pergi renew hari Sabtu atau Ahad, since dekat tempat aku pejabat imigresen buka Sabtu-Ahad, separuh hari.


Passport Kebanggaan. Muhammad Rasulullah s.a.w
Agak-agak gambar ni related tak dengan cerita?
(Sumber)


Sabtu, aku tak dapat pergi sebab ada hal lain yang datang secara tiba-tiba. Takpe, aku fikir esoknya (Ahad) aku boleh pergi juga, bukan jauh pun. Lagipun passport boleh siap dalam sejam-dua je, takpe. Itu kata aku lah.

Ahadnya, iaitu hari ini... pagi-pagi dalam pukul 8.15pagi aku sampai pejabat imigresen tu. Tau aku nampak apa?

"HARAP MAAF, NO GILIRAN TELAH HABIS " 

Mak aaiii....Terperanjatnya aku. Aku pun tanya Uncle yang jaga kaunter pertanyaan tu, betul ke habis? Cepatnyaa???
Uncle tu jawab, habis sebelum pukul 8.15pagi lagi. Hari Ahad memang ramai orang, kata Uncle tu.

Habis aku ni cemana lahhh.. Nak flight pagi-pagi Selasa dah. Aku tanya Uncle tu lagi, kalau aku datang Isnin, sure boleh siap kan? Boleh dapat time tu jugak kan?
Uncle tu angguk-angguk, senyum-senyum. Boleh katanya, tapi dia sarankan aku datang awal pagi sebelum pukul 8.00. Dalam 7.30pagi gitu. 

Oklah, harap-harap sempat aku siapkan passport ni, flight dah book.

Lagi satu, aku ada simpan banyak gambar passport background biru, tapi terpaksa ambil gambar passport yang baru sebab gambar passport baru ni backgroundnya putih.



~ So, aku dok terfikir-fikir ni, gambar yang banyak-banyak background biru tu, aku nak buat apa?







Monday, September 9, 2013

Belaaks Belaaks Belaaks



Belaaks – Ramy Ayach ft Abeer Nehma

El tily bethebiini wa’aTul meshraH tinsiny
ShuSor ta’aa mel tini
Belaaks, Belaaks, Belaaks

Min alak ya Hayati beinsaak laHZah be Hayati
Hawak maly aw ati
Belaaks, Belaaks, Belaaks

Idzakan bedik testally wel iltiny mauDhuk abil
Dhally be ‘eidih ‘eini Dhally
LaTraDhini la mesh abil
Baddik ta’tdzry menni eddam li alu ‘anni
Maghrur taisyu fu inni
Belaaks, Belaaks, Belaaks

Awwel marra behsi be albi ‘am yuja’ni albik asi
Mesh Hasis fiyu wuhubbi
Fekry shiilak min aHsasi
IdzraH tebi be halaleh
Maa fik tisy’ur beHaly
La syuk tebb a be bally
Belaaks, Belaaks, Belaaks

Wahayata ‘uyuunek ente el Hayat ma’anaha ente Mab ‘eish men dounik ente
Belaaks, Belaaks, Belaaks




***********************


Belaaks ni adalah versi Arab untuk Perhaps, Perhaps, Perhaps- Doris Day dan Quizas, Quizas, Quizas- Andrea Bocelli duet dengan Jennifer Lopez.


Tulisan yang aku rumikan ini, hasil penat lelah mendengar dan menyalin tau. Salin dalam Bahasa Arab dulu, lepas tu aku gigih merumikan dia ikut pronounciation dalam Arabic nya.

.Credit for myself.








Sunday, September 8, 2013

Jahit Baju Pengantin



Lali?
Taklah. Aku bukan lali. Bukan juga kebal. Cumanya aku dah letih dengan semua ni. Bukan sekali dua, malah dah berkali-kali. Sampai tahap aku dah naik jemu, ya jemu yang terlampau. Sampai tahap malas nak layan. Tapi itu cuma kata-kata. Memang sesekali aku tercakap "aihh...dah penat la dengan semua ni..tak larat lagi nak tanggung. Malas dah nak layan.."
Hakikatnya? Hati aku ni, tak jemu-jemu mengharap ihsan Ilahi agar dikuatkan semangatku, dikuatkan imanku supaya aku terus tabah menanggung ujian ini.

Aku percaya, aku ni terlampau banyak sangat dosa hingga Allah menduga aku sebegini. Dugaan ini ku kira adalah amaran dari Allah agar aku sedar dan kembali kepadaNya, sebenar-benarnya.

.........*time aku tengah ada idea nak mengarang ni la tetiba internet slow pulak. Padahal baru je bayar siang tadi. So  terpaksa aku tukar mode cerita.  Haissshh*.........

Nak kahwin lagi???

Ye kalau boleh aku nak kahwin sekali lagi. Errr... dengan orang yang sama la, suami aku ni. Nak rasa juga kahwin bertema-tema, kiut-kiut macam orang sekarang buat ni. Zaman aku kahwin dulu takde semua bagai ni. Baju pengantin kaler lain, pelamin kaler lain, semua lain-lain.

Nasib baik laa juga waktu aku kawin tu, baju pengantin aku dengan suami, aku yang jahit sendiri. Haaa gigih uollss pengantin jahit baju sendiri. Maka sama la tema dan kaler kitorang. Pelamin pun by luck, kebetulannya dalam ton yang sama dengan baju pengantin. Ehh pelamin tu, bukan pelamin sanding. Pelamin tak ada pentas, tak ada kerusi pun. Pelamin untuk kitorang duduk makan je. Memang family aku tak pernah buat acara sanding pun.

Tu satu, aku ni teringin la jugak nak mekap cantik-cantik macam pengantin-pengantin lain kan tapi angan-angan je laaaa. Suami aku (kitorang sebenarnya dah nikah awal, tiga bulan sebelum kenduri) dah pesan time tu, dont put so much make-up, hokeyyy. So kakak aku (haa..tengok, tak import mak andam / mekap artis ponn) mekapkan la simple-simple konon. Dalam pada tu aku dah beli colored contact lens dengan fake eye-lash dah.. (Masa tu tak tau benda ni tak boleh dipakai. Ampunnn) Tapi tu lah, ditakdirkan oleh Allah swt, aku tak boleh pulak pakai kedua-dua benda tu. Aku letak je contact lens, berdezup gatal-gatal dah biji mata. Selalu aku pakai, okey je pun. So aku tanggalkan balik, tak jadi pakai mata warna-warni. Lepas tu, try la pakai fake eye-lash pulak. Punnnn samaaa... Tak mau pulak dia lekatttt. So togel je la, aku letak maskara lebat-lebat.

Punnn okey, hehe.

Dah masuk sembilan tahun pun usia perkahwinan, semoga ikatan ini kekal hingga ke syurga. Aamiin.


Entry takde motif. Saja seronok ingat balik waktu dulu-dulu. Anak aku -Adik- tengah punggah-punggah almari. Terjumpa pula dia album kahwin aku tu. Lama dia belek-belek gambar-gambar tu.

Adik      : Ibu, ini gambar you kahwin dengan Abi?
Aku       : Ye lah.. Kan muka Ibu dengan Abi tu...
Adik      : Mana Abang dengan Adik????
Aku       : Entahlah, mana ye...
Adik      : Abangggg....tengok ni Ibu dengan Abi kahwin tak bawak kita!!!
Abang    : (Abang turun dari kerusi, pun sama belek-belek gambar tu).. Ibbuuuuu...!!!
Aku       : Ye..kenapa?
Abang   : You tak bawak kitoranggg???
Aku      : A'ah.. Abi cakap kat Ibu, tak payahlah bawak Abang dengan Adik masa ni. Ibu ikut je la (aku dah tersenyum sorang-sorang time ni)
Abang   : Jomlah Adik, Ibu tak sayang kita...

(Lepastu dua-dua orang budak ni pun pergi masuk bilik dengan mulut muncung, masuk bawah selimut. Merajuk. Hehe)





Friday, September 6, 2013

Doa Dimurahkan Rezeki



Rezeki Allah swt teramatlah luas untuk sekalian makhluknya. Diberikan selautan dakwat untuk kita senaraikan nikmat dan rezeki dari Allah, pun tak pernah akan cukup. Allah Maha Besar, Allah Maha Pemurah.

Antara mahu dengan tak mahu je, kita perlu berusaha untuk mencari nikmat dan rezeki yang Allah turunkan. Duduk saja-saja sambil mengharap rezeki datang bergolek, memang tak jadi apa. Dah ada para cendakiawan (atau cendiakawan? Aku konfius) dan alim-ulama yang berpesan pada Usaha, Doa dan Tawakkal.

Banyak doa dari dalam kitab suci Al-Quran yang dijadikan amalan supaya dimurahkan rezeki. Antara ayat yang familiar ialah ayat dari surah Al-Talaq. Kita lebih mengenali ayat ni dengan nama Ayat Seribu Dinar.



Surah Al-Talaq : 2-3
Maksudnya : Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya, Allah melaksanakan urusan yang dikehendakinya. Sesungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.

Amalkan membaca ayat ini dengan ikhlas tiga kali selepas setiap solat lima waktu, InsyaAllah- Allah akan memurahkan rezeki kita dan dicukupkan kemuliaan untuk kita dunia akhirat, Aamiin Ya Rabb.



Ada lagi beberapa potong ayat yang boleh dijadikan amalan doa seharian yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Alang-alang dah baca Ayat Seribu Dinar, tambahlah lagi dengan doa ni.

Maksudnya : Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki yang Engkau halalkan (hingga aku terhindar dari apa yang Engkau haramkan). Kurniakanlah padaku anugerahMu (hingga aku tidak meminta) kepada selainMu.


Selain dari itu juga, jangan sesekali lupa mendoakan kesejahteraan untuk kedua ibu bapa, kerana di situlah letaknya berkat doa merujuk kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

" Apabila seseorang hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya, nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya "

Hadis Riwayat Al-Hakim dan Ad-Dalaimi


Tahu tak, sebenarnya ada 8 pintu murah rezeki? 

#1- Jangan derhaka dengan ibu bapa
#2- Jangan bergaduh dengan saudara-mara
#3- Menunaikan Haji "Tidak akan papa kedana orang yang pergi menunaikan haji"
#4- Amalkan solat sunat Dhuha
#5- Jangan tidur selepas solat Subuh
#6- Selalu baca doa Al-Waqi'ah
#7- Rezeki ada dalam perkahwinan
#8- Rezeki ada pada anak "Semasa bayi lahir, 4 perkara ditetapkan antaranya ialah rezeki dan rezeki anak itu juga akan turun kepada ibu-bapanya"



Nampak tak...sebenarnya perbuatan kita, amalan kita, kebanyakannya berkait rapat dengan rezeki yang kita perolehi.





Thursday, August 29, 2013

Dua Hari



Suka rumah baru kakak di utara Semenanjung. Kakak aku memang pandai mendeko, so aku first time sampai rumah baru dia ni macam.."fuyoo...cantiknya". Ini rumah kedua kalau tak silap, kakak dengan abang ipar ada satu lagi rumah tak jauh juga dari rumah baru ni. 

Dua hari di sana, serius tak puas. Nanti nak pergi lagi, kalau boleh nak berlama-lama sikit kat situ. Dah la kakak aku sorang tu je pun dunia akhirat. Kakak demam time aku dengan family kat rumah dia ni, tapi knowing her, dia ni gigih.. Siap buat open house lagi. Sempat la juga aku menolong-nolong apa yang patut.

Ramai tetamu kakak, campur tetamu abang ipar, campur tetamu anak bujang kakak. Dari pagi sampai ke malam la tetamu tak henti-henti datang, Alhamdulillah murah rezeki kakak dan abang ipar. 

Banyak gambar yang aku ambil, tapi atas sebab-sebab tertentu setelah ditapis hanya dua ni jelah yang boleh aku tunjuk kat sini. Errr... tu pun sebelum tetamu-tetamu sampai.

*Sori kak, aku tayang gambar umah kak kat sini eh. 


Ruang depan. 

Ruang tamu. Port lepak makan kuih raya.


Nanti-nanti bila aku pegi sana lagi aku ambil gambar yang sopan-sopan. Banyak la sikit yang boleh aku tayang.


~ Roti jala mak mertua kakak aku buat sangat la sedap. Siang hari tu aku makan berapa keping ntah dengan kuah kari. Esoknya breakfast, aku makan lagi. Dengan susu. Pehhh.... ~ 






Monday, August 26, 2013

Karipap Rasa Cinta


~ Tajuk kemain.

Dah jadi kemestian setiap hari untuk aku bekalkan makanan anak-anak ke sekolah. Dalam usia yang masih kecil macam ni, aku tak mahu dedahkan sangat anak-anak aku dengan RM (tu dia... RM kau, haih), melainkan ada keperluan lain atau pesanan dari cikgu.

So tiap-tiap hari gigihlah aku masakkan bekalan untuk dua orang jantung hati ni (kadang-kadang suami pun tapau sekali). 

Satu malam tengah layan anak-anak buat homework.... (Suami belum balik lagi)

Abang : Ibu.....
Ibu      : Ye? (Ada la tu)
Abang : Abang rasa Abang macam nak bawa bekal curry puff la tomorrow (ambik, curry puff tuuu)
Ibu      : Nanti esok kita beli kat gerai tu ye
Abang : That one hot la Ibu....... Abang tak suka. Ibu buat la 
Ibu      : Sayang, Ibu tak pernah buat karipap pun
Abang : So Ibu tak tau buat laa??
Ibu      : Ermm.. Bukan tak tau, cuma tak ingat (cover baik kot depan anak. Haha)
Abang : It's ok. I'll help you. Let's google.
Ibu      : *gulp..Telan air liur time ni. Sumpah aku langsung tak terfikir pun nak google. Haihhhhh!!!!


Makanya, Abang pun google 'how to make curry puff', dia baca resepi, aku salin. Tak ingat dari page mana, sebab banyak sangat resepi buat karipap yang kitorang jumpa. Ya Allah, indahnya perasaan waktu tu. Lepas habis sesi menyalin resepi dengan Abang, giliran Adik pulak menvolunteerkan diri nak temankan aku buat karipap kat dapur. Mana boleh biar Abang sorang jadi hero tolong Ibu kan, Adik mesti nak nama jugak. 



Anak-anak dah tidur waktu aku siap uli tepung, dah siap buat inti tak pedas, dah siap kelim. Oh, cantik jugak aku mengelim. Dan oh ya, aku perasan, hehe (kalau mak aku tengok confirm menangis terharu. Wohoo...). Demi kasih dan cinta, gigihlah ikut step by step tau.

Okey, test goreng seketul. Phewww...gebunya kulit karipap tu, seronok aku tau. Memang feveret diorang la gebu macam gitu. Inti tak pedas as per request. Budak-budak ni memang tak boleh pedas sikit, karang mulalah drama lebih. Dah puas hati, so karipap-karipap yang belum bergoreng tu aku simpan dalam fridge tunggu esok pagi nak selesaikan.

Esoknya masing-masing satu tupperware penuh aku bekalkan karipap tu. Balik tengahari tu, minta lagi. Nasib baik lah ada banyak lagi, goreng lagiiii....... Suami pun join sekaki.

"Sedaplah Ibu, pandai Ibu buat..." Hati berbunga-bunga. Mata menjeling Abang dan Adik dengan senyuman. Karipap yang dibuat dengan rasa kasih dan cinta. Ehh... karipap-karipap cinta? Bukanlah.

Karipap google.






Blog Tiada Followers


Ada ke blog yang tak ada follower?

Ada ni, blog ni. Kenapa eh?

Aku sengaja tak letakkan widget follower di sini dari awal lagi. 

Tetiba aku bercakap pasal ni sebab aku dapat few email, tanya macamana nak follow blog ni. Cari butang follow takde. Memang la tak de, sebab aku tak letak. Tihehee

Terus terang la kenapa aku tak letak, okey.

Err...sebenarnya kalau aku letak pun, ada ke yang nak follow? Tu je yang aku fikir. Aku tau kalau aku letak, nanti takde orang follow. Yang ada pun sorang-dua je nanti. Errr segan laa aku macam tu. Lagipun aku menulis ni main-main je pun. Banyak entry aku, entry yang takde motif. Aku tulis ikut suka hati aku je, tak ikut flow macam blogger-blogger lain. Err takpe, korang blogger otai. Lain cerita. Aku ni tak boleh nak dikategorikan sebagai blogger pun..Hehe.

Jadi bagi aku cukuplah kalau ada sesiapa yang terjumpa blog ni, terbaca secara tidak sengaja. Tengok la, advert-advert semua tak ada, Nuffnang pun takde... Kotak komen pun tak ada. Sobs sobss... 

So, kepada sesiapa yang terjumpa blog ni, terima kasih daun keladi. Mesti korang jumpa blog ni secara tak sengaja kan? Lepastu dah terbaca, mesti korang nyesal kan? Haha :p


Sempat lagi aku nak selitkan sikit di sini, doakan keselamatan saudara kita di Mesir, Syria, Palestine, Turki (sekadar menyebut beberapa nama) tak lupa juga di Malaysia dan seluruh dunia hendaknya. Moga Allah swt berikan kemenangan kepada para pejuang Muslim, Amin Ya Allah.

Sekejap... Ni, kenapakah macam penulisan esei Bahasa Melayu Kertas II? Kan aku kata, entry aku tak ada motif.

*Entri berakhir tiba-tiba. Peace.







Sunday, August 18, 2013

Singgah Sekejap


Dah lama ditinggalkan, jadi datang singgah sekejap. Tapi tak tahu pula nak update apa kat sini. 

Hati teringin nak kongsi macam-macam cerita, termasuklah gambar-gambar keluarga. Tapi nantilah. Dah agak lama tak bercerita kat sini, sebenarnya agak sibuk dengan urusan-urusan yang tertunda selama ni. 



Masih menulis, dan masih gigih menyiapkan beberapa naskhah penulisan. Sebab tu lah juga agaknya halaman ni sedikit terabai. Err...sikit ke? 

Bila dah lama tak menghadap blog macam ni, ada banyak benda dan perkara yang tersimpan yang nak dicerita. Tapi tu lah, tak tau nak mulakan dengan yang mana dulu. Semua nak cerita dalam satu masa. Oh tidakkk.... 

Jadinya, hasrat nak bercerita ni masih juga tak kesampaian. Lain kali lah.


Maka entri ini berakhir di sini dulu. Ehh?


~ Jika kita mencintai sesuatu hingga kadangkala kecintaan itu melebihi kecintaan terhadap Allah swt, maka Dia akan mengambil balik apa yang kita cintai, hinggalah kita sedar bahawa tiada apa pun yang layak dicintai melebihi cinta kepadaNya ~

(Apakah motif gambar unta dan padang pasir itu pun, aku tak tahu)







Wednesday, May 8, 2013

Because I Love Him



Kerana Cinta
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Teramat cinta padanya. 



Diam. Noktah.







Sunday, January 20, 2013

Hanya Jauhari Mengenal Manikam






Unknown source, dalam dunia maya ni we are all random.


Sangat terkesan. Berbekas di jiwa.






Nikmat Dunia


Nak update tentang apakah kali ini.


Dulu nak dapat kolagen, harga bukan main mahal lagi. Seingat I, (dah I pulak...apa-apajelah kan..) sekotak kolagen harga tak kurang RM200, adalah dalam 12 sachet. Aturan makannya, 2 kali sehari. Habis tu kalau 12 bahagi 2, berapa harilah sangat dapat kolagen tu bertahan kan. 6 hari. Okey RM200 untuk 6 hari. Kesan minimum kita boleh nampak dari penggunaan kolagen ini adalah dalam masa sebulan. 
Wah. 
Tapi tak apalah..waktu tu, memang tak ada keinginan untuk berkolagen lagi.. Masih muda remaja (senyum).

Masa pun berlalu.

************************

Sekarang kita ada pure marine colagen, murah, mudah dan selamat. Halal terjamin. Ada gred, AA, AAA,  pelbagai warna. Putih, kuning, ungu dan hijau.  Nak rebus buat stok macam jelly, nak buat masker pakai sapu muka.. Macam-macam ada.

Aku buat kerabu. Terpulang nak namakan kerabu ni kerabu apa. Aku namakan dia Kerabu Mangga Kolagen Marine Asli. Nama glamer bukan main.

  • Bahan-bahan :
    -Sebiji mangga muda, hiris halus
    -Sebiji tomato, potong kecil
    -Sebiji bawang merah atau bawang besar saiz sederhana, hiris nipis
    -Rumpai laut yang direndam semalaman (agak-agak sendiiri banyak mana kita nak), potong lebih-kurang sama saiz dengan mangga tadi
    *Perahan tiga biji limau kasturi
    *Belacan sikit (saya letak dalam seinci)
    **Gaul belacan dengan air perahan limau 
    -Garam dan gula sikit (secukup rasa)

    Caranya :
    -Gaul semua dalam satu bekas. Siap.....
    *****Kalau suka boleh letak ikan bilis goreng atau udang kering.


    • p/s : Cili jangan lupa. Kalau suka pedas, letak cili padi. Hiris nipis-nipis. Macam aku tak suka pedas, letak cili merah yang tak pedas tu.



    Kena pulak hari buat kerabu ni, pekasam yang aku kirim pun sampai. Apalagi, kerabu dengan pekasam goreng, dengan nasi putih panas-panas. Memang tak nampak lauk lain dah. Sup ayam dengan sayur goreng atas meja, anak-anak dengan Abi diorang jelah yang makan.


    Eh? Blog ni dah cerita pasal makan pula kan. 


    Nikmat dunia semata.





    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...