Friday, March 30, 2012

Perginya Seorang Putera


Al-Fatihah.




Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali.


Menerima berita kemangkatan Almarhum Dato' Seri Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah memang mengejutkan kami sekeluarga. Pukul 1.30pagi tadi selepas balik dari majlis zikir di Bukit Damansara, baginda mangkat akibat asthma dan alahan. Hujan mengiringi kemangkatan baginda Almarhum pada subuh Jumaat yang hening.

Almarhum yang kami kenali, yang kami panggil Shaykh Raja, secara peribadinya memang seorang putera yang sangat baik, mementingkan adab dan tatasusila, gemar berzikir, mesra rakyat dan sangat merendah diri.

Subhanallah, Allah memberikan aku peluang mengenali Almarhum Shaykh Raja melalui suamiku yang tercinta. 

Antara gurauan Almarhum yang aku paling ingat di awal perkahwinan aku dan suami.

"AJ, your husband treat you good?" katanya dengan senyum di sebelah suamiku. Aku pun senyum juga. Malu.

"Kalau dia nakal, bagitau saya.." sambungnya sambil menyucuk-nyucuk bahu suamiku. Suamiku tak kata apa-apa. (Sebab dia tak faham Bahasa Melayu)

Kini tinggallah Datin Seri Noraini Jane Tan Sri Kamarul Ariffin meneruskan hidup tanpa suami tercinta di sisi (we know you are strong, Kak Jane), dan tiga anaknda Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah, Puteri Emina Aliyyah dan Puteri Bainunisa Safia meneruskan hidup tanpa ayahnda mereka yang tersayang.


Tiada kekayaan dan kemewahan yang dibawa bersama, tiada gelaran kebesaran dan pangkat dunia yang diusung bersama, tiada harta yang disisip bersama, tiada ahli kerabat dan zuriat diraja yang disemadi bersama....hanyalah amal-saleh, sedekah jariahnya, ilmu yang dikongsi dan doa dari anaknda yang menjadi peneman menerangi tempat semadi di alam sana.

Tenanglah Shaykh Raja, semadilah dengan aman, semoga tidurmu kini menjadi tidur yang amat tenang dan aman. Tidurlah seperti pengantin. InsyaAllah.


******************


~ Almarhum Shaykh Raja akan menjadi ingatan kami sekeluarga setiap kali kami memanggil NAMA SEBENAR anak kedua ku (Adik) kerana nama itu diberi oleh Almarhum. Mudah-mudahan terhimpun berkat di sebalik nama yang indah itu. Amin ~


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya, semoga Almarhum tenang di sana, ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal saleh.

Al-Fatihah.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...