Tuesday, June 28, 2011

Airmata, Janganlah Mengalir Lagi


Aku menangis paling teruk dulu bila arwah ayahndaku pergi menyahut seruan Rabbul Izzati. Seminggu aku menangis, siang dan malam. Baju terakhir yang arwah ayah aku pakai, aku peluk setiap masa dan ketika. Aku tidur dengan baju itu, kerana bau terakhir ayah ada di situ. Bayangkan, seminggu. Lost, sangat-sangat lost. (Maaf perojakan bahasa yang melampau)

Lama lepas itu, aku tak pernah menangis. Buatlah apa pun, sakitkan lah hati aku macama mana sekali pun, aku tak menangis. Huh, kebal time tu.

Kemudian aku kembali menangis setelah seminggu aku bergelar isteri. Maknanya seminggu selepas diijabkabul. Ya, aku tak menangis saat diijabkabul macam pengantin-pengantin perempuan yang lain. Aku menangis seminggu selepas aku dan suami dinikahkan. Pelik, kan. Aku pun rasa pelik. Selepas seminggu baru aku dapat feel untuk menangis (Betapa tak romantiknya aku). Malam tu, suami aku tidur awal. Atas sofa. Aku pergilah nak kejutkan dia, tengok dia tidur sangat nyenyak jadi aku duduk ajelah di sebelah. Lama aku renung dia, dari atas ke bawah kemudian pandanganku terhenti di mukanya. Aku tatap wajahnya, aku sedar mataku tak berkelip. Pehhh baru aku sedar aku jatuh cinta pada suami aku yang teramat sangat, malam tu. Tiba-tiba airmataku berderai-derai jatuh berlinang, menitis pula dekat atas mukanya. Kantoi..

Aku menangis lagi bila dua orang putera kami dilahirkan. Ini menangis gembira (masih lagi di dalam kategori menangis). Aku menangis melihat insan yang baru, nyawa yang baru yang datang dari kasih sayang. Kasih sayang Allah terhadap hambaNya, dan kasih sayang dari suami isteri. Sangat menakjubkan.

Maka selepas itu, aku makin kerap menangis. Aku menangis, merayu kepada Maha Pencipta supaya dipelihara anak-anakku dengan Islam, terpelihara dari fitnah dunia dan dijauhkan dari azab siksaNya. Aku menangis setiap kali ku panjatkan doa untuk anak-anakku. Anak adalah amanah, anak juga merupakan pelaburan. Pelaburan supaya kita mendapat keuntungan di akhirat kelak.

Aku menangis lagi, memikirkan apa jasaku kepada bondaku selama ini. Aku gerun memikirkan zaman mudaku yang terlalu banyak menyakiti hatinya tanpaku sedari (kadang-kadang dengan sedar pun ada, ego remaja waktu itu.. Astaghfirullah!). Ummi, maafkan lah aku. Memegang gelaran yang sama sepertimu, aku menginsafi betapa kasih ibu membawa ke syurga. Baru aku faham kini, kenapa ummi sering menangis dalam doanya.

Airmata, berhentilah berlinang. Aku malu dilihat anak-anak dan suami. Namun sebanyak mana pun aku cuba bertahan, ia tetap akan mengalir.



Airmata, janganlah mengalir lagi. Habis celak mataku comot nanti.





Friday, June 17, 2011

Blog atau Diari

Blog dan diari.
Kedua-duanya adalah medan penulisan.

Ok, bukan.

Blog.
Kita tekan keypad. Tak tulis, kan?

Diari.
Kita tulis dengan tangan sendiri.

Konsepnya sama. Keduanya medium untuk mencurahkan idea dan isi hati.

Bezanya diari adalah hak peribadi. Sangat peribadi. Kita boleh menulis apa saja. Tak siapa boleh marah kita tulis apa dalam diari sebab diari terlalu peribadi untuk ditatap oleh mata yang lain, selain mata kita sendiri. Kita menjaga diari kita dengan sangat berhati-hati. Kita simpan rapi. Ada sesetengah diari, eksklusif berkunci. Kita tak mahu ada orang lain yang membaca diari kita sebab ia rahsia hati kita. Dan kita tak mahu orang lain terjumpa diari kita, kan? Hanya kita dan diari.

Aku ingat lagi ada kes saman-menyaman, sebab diarinya dibaca orang lain. Macam tu sekali.

Blog pula, memang ramai yang tulis itu blog peribadi.
Peribadikah?
Memang blog itu, kita punya. Tapi dah nama pun blog, semua orang boleh jumpa. Dan blog, kita suka kalau orang jumpa blog kita. Orang baca blog kita. Kita buat blog dan menulis diblog supaya orang baca. Kalau ada yang kata, tak mahu orang baca blog dia sebab blog tu blog peribadinya, bohong lah... Abis kalau tak mahu orang baca, kenapa masih mencatat di dalam blog? Faham tak makna blog? Tekan satu dua ayat dekat google, orang pasti terjumpa blog tu. Tak banyak pun sikit. Macam blog aku ni. Muehehe....
Kalau tak mahu orang jumpa apa yang kita tulis, baik tulis dalam diari jewww...

Makanya aku tak faham lah ada sesetengah orang yang ada blog ni.. Tulis merapu-meraban, letak gambar bukan-bukan.... Lepastu publish dekat blog. Nama pun blog. Aku ulang lagi, nama pun blog. Dah sah-sah orang lain akan baca. Bila dah baca, sah-sah juga ada yang akan bagi komen (walau tak banyak ~ macam blog aku ni juga lagi...muahaha ~ ). Sah-sah ada yang suka dan ada yang tak suka dengan apa yang kita tulis. Tapi kita anggap itu hak dan idea peribadi kita.

Peribadikah, kalau kita sendiri yang tekan butang berwarna oren yang bertulis "publish post" tu?

Yang boleh terima teguran dan komen, itu baik lah. Tabik spring.

Yang jenis tak mahu terima teguran dan komen... Aku biasa baca dan dengar jawapan yang diberi macam ini.

 "Blog ni dah kira macam diari aku.. aku tulis apa yang aku suka.."
"Ikut suka aku lah, blog aku...Itu hak peribadi aku"
"Siapa suruh kau baca...aku buat blog bukan nak tunjuk kat orang"
"Yang kau pergi baca tu kenapa...aku tak suruh kau baca pun.."
"Kalau tak suka jangan la baca.."

(Ok yang last tu boleh diterima juga)

Aku tak pernah dengar lagi kes blogger saman pembaca. Sebab pembaca ni jumpa blog dia dan baca. Ada ke? (Kalau ada, mungkin aku yang tak tahu kot). Tapi ada banyak kes, pembaca saman blogger.

Kesimpulannya,
Antara blog dan diari kedua-duanya memang tak sama.







Wednesday, June 15, 2011

Rahsia Di Sebalik Ciptaan



Rahsia asal-usul kejadian manusia, di mana permulaannya Nabi Adam s.a.w dijadikan dari tanah. Bukan sembarangan tanah, sebaliknya pelbagai jenis tanah dari pelbagai pelusuk dunia dihimpun dalam satu penciptaan. Besarnya kuasa Allah Swt dalam menyampaikan simboliknya rahsia kejadian Nabi Adam.

Namun manusia,  seringkali alpa dengan nikmat yang Allah beri.

Allah memberikan kita kepala, bukan untuk dihentak pada dinding bila dilanda musibah. Di situ letaknya akal. Fikirlah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah.
Kepala Nabi Adam dicipta dari tanah Baitul Maqdis, ia menjadi tempat letaknya akal fikiran, kecerdasan, ilmu dan ucapan.

Telinga yang kita miliki, acapkali disalah guna. Kita menggunakannya untuk mendengar gosip-gosip dan kisah-kisah manusia lain, juga untuk melayan bunyi-bunyian yang lagha'.
 Kedua telinga Nabi Adam dicipta dari tanah Thursina, maka kedua telinga itu sebenarnya tempat menerima nasihat.

Allah mengurniakan kita dahi. Bukan hanya sebagai pelengkap wajah. (Oh, bayangkan wajah tanpa dahi....?)
Dahi Nabi Adam a.s. dicipta dari tanah Iraq, untuk bersujud kepada Allah Swt. 

Allah sukakan keindahan. Wajah yang Allah beri, itu amanah untuk kita menjaganya supaya sentiasa cantik dan indah. Ya, cantik itu subjektif. Setiap manusia itu cantik dengan caranya sendiri.
Wajah Nabi Adam a.s. dicipta dari tanah syurga, maka wajah tersebut menjadi tempat kecantikan dan ketampanan.

Gigi yang Allah beri, jagalah ia sebaiknya. Jangan biar kuning dan berkarat. Hilang cantik dan hilang hensemnya. Kikiki.. *gelak sikit*
Sebaik-baik penjagaan gigi adalah dengan kayu sugi. Itu sunah Nabi yang kita semua tahu, namun dek kemodenan kita makin meninggalkannya kerana mengejar pelbagai jenama. Bersihkan gigi supaya nafas tak berbau.
Dan tak perlulah kot nak letak gigi berlian ke apa..Itu trend sekarangkah? Manusia memang pelik.
Gigi Nabi Adam a.s. dicipta dari tanah telaga al-Kautsar, tempat letaknya kemanisan.

Tangan yang kita ada, kalau pasangan bercinta seringkali guna untuk berpegang-pegangan. Dah tahu itu haram kan. Masih nak buat juga. Betullah, yang terlarang itu godaan. Tapi cubalah jaga batasan. Kalau blogger pula, tangan yang ada tu tak lain tak bukan nak taip blog lah. Taiplah, tapi jangan merapu tak tentu arah. Itu dah dikira menyalahgunakan nikmat.
Tangan kanan Nabi Adam dicipta dari tanah Ka’bah, supaya tangan kanan itu menjadi tempat berkat, bantuan, mencari ma’isyah, dan memberikan pemberian.

Tangan kirinya dicipta dari tanah Persia, maka tangan kiri tersebut sebagai tempat bersuci dan istinja’.

Perut adalah nikmat. Perut juga kalau tak dijaga, boleh menjadi sarang penyakit. Banyak makan boleh mendatangkan mudarat. Pilihan terbaik adalah yang halal dan tayyiba. Hidup bukan untuk makan, sebaliknya makan untuk meneruskan hidup.
Perut Nabi Adam di­cipta dari tanah Khurasan, maka perut itu sebagai tempat untuk merasa erti kelaparan.

Semua orang tahu Babilon. Kerajaan purba yang tercatat dalam sejarah dengan pelbagai hikayat dan kisah. Aku sendiri paling kagum dengan Sejarah Taman Tergantung Babilon.
Aurat Nabi Adam a.s. itu dicipta dari tanah Babilon, kerana tempat tersebut merupakan tempat syahwat, dendam dan penipuan.

Hidup jangan meminta-minta. Allah mengurniakan kita tulang supaya kita berusaha. Kalau tidak masakan wujud bidalan 'tulang empat kerat'.
Tulang-temulang Nabi Adam dicipta dari tanah gunung, kerana gunung adalah kekuatan.

Hati yang kita miliki, jauhkan dari noda dan bersihkan dari titik-titik hitam. Hati adalah kunci ketakwaan manusia.
Hati Nabi Adam dicipta­ dari tanah syurga, maka hati merupakan tempat bertapaknya iman.

Bertindik ada tempatnya. Aku sangat ngeri ada yang sanggup bertindik lidah. Aku tak sanggup lah. Dan ramai yang menggunakan lidah yang dimiliki untuk menipu. Semua orang tak suka ditipu. Termasuklah penipu itu sendiri. Jadi kenapa masih menipu?
Lidah Nabi Adam dicipta dari tanah Thaif, kerana lidah adalah medium  pengucapan syahadat dan untuk berdoa kepada Allah Swt.

Allah Maha Besar. Allah Maha Mengetahui. Allah Maha Bijaksana. Sempurna sungguh cause and effect nya.


Tapi berapa ramaikah antara kita yang sedar semua ini?






Bila Wang Menjadi Virus



Yang bulat tak datang bergolek.
Yang pipih tak datang melayang.
Semua orang tahu.

Ini yang buat aku rimas. Oleh sebab aku dah rimas sangat, maka aku block sekumpulan kecil pembawa anasir yang tak berapa best dalam Facebook aku.

Anasir-anasir yang selalu mentagkan aku dan mungkin juga rakan-rakan lain, dengan pelbagai dakyah dan kata-kata manis yang antaranya berbunyi :

~ANDA MAHU WANG YANG BANYAK?

~HANYA DUDUK DAN ONLINE, WANG AKAN MENGALIR KEPADA ANDA
dan bla, bla, bla...

Aku hargai niat yang ingin membantu aku menjadi kaya macam tu, duduk goyang kaki, online 24 jam lepastu dapat duit berkepuk-kepuk. Siapa yang tak mahu? Alhamdulillah Allah kurniakan rezeki melimpah-ruah kepada mereka dengan cara itu. Siap tunjuk bukti betapa banyaknya duit yang berbukit-bukit.

Tapi, terima kasih banyak-banyak ya. Tak semua orang mempunyai kemahiran untuk duduk saja macam itu. Aku di antaranya.

Sebab aku tahu, rezeki tak akan datang dengan sendiri. Sedangkan Nabi s.a.w pun berusaha sejak umur kanak-kanak. Kerjanya sebagai pengembala kambing yang bersusah payah di terik mentari. Kemudian bila dewasa pula berdagang sebagai pekerja upahan Saidatina Khadijah. Mengheret sang unta dan barang-barang dagangan ke sana - sini.

Oh, aku rasa isi itu cukup relevan.

Dan aku bukan marah pun. Syaitan suka orang yang marah-marah. Aku tak mahu syaitan sukakan aku. Lagipun bila marah-marah, kita akan berpeluh. Aku tak suka peluh, sebab bila berpeluh, sebagai perempuan hormon wangi asli dari tubuh yang dipanggil feromon akan terganggu. Bila feromon terganggu, nanti tak wangi. Bila tak wangi, suami tak suka. See...dah tersasar dari topik.

Cuma aku tak suka.

Sebab tu, aku block segelintir nama yang aku rasa mengganggu wall aku. Minta maaf banyak-banyak. Aku dah PM Inbox nama-nama tersebut, mulanya aku ingatkan mereka ini, dengan bahasa yang halus dan sungguh berbudi (sumpah) supaya tolong jangan tag aku dengan perkara-perkara itu.

Mesej tak berhasil. Aku kian galak ditagkan.

Ok. Aku PM Inbox kali kedua. Dengan bahasa yang lebih lembut. Susah rupanya nak fahamkan orang, jangan buat onar di dinding ku. Tak berkesan juga.

Sekali lagi, aku PM Inbox. Kali ini sangat mudah. Aku minta mereka maafkan salah dan silap aku. Lepas tu aku mulakan operasi memblock. Supaya wall aku bersih dari virus wang yang membiak-biak ini.

Aku tahu, mereka ini tak kisah pun aku block sebab banyak lagi peluang untuk mentag orang lain. Lagipun bukankah rezeki mereka sentiasa ada walaupun dengan hanya ber-online?

Semoga Allah menambahkan dan memberkati setiap rezeki yang kita perolehi. Tapi tolong jangan tag aku lagi. Serius rimas.






Thursday, June 2, 2011

As Good As An Angel - Ya Gamil -



Oh beautiful, beautiful, beautiful one,

Proof of your love appeared to me and I'm afraid my heart is leaning towards you. You who confuses my heart with you, you who makes my mind run after you. Afraid my soul loves you. You occupy my thoughts and confuse me, I've found nothing to give me patience.

It's easy to fly in your eyelashes, and a stranger calls to a stranger, and says love is our destiny.
And when your eyes surrender, you'll find your heart will surrender and you lean towards me, and I lean towards you, and I say, say...

God is the one who made you as good as an angel, and I asked your beauty to appear. And love is my melody that talks in your lips if you smile. There are melodies in your speech, dreams in your beauty.

My heart was empty before you, and love wasn't on my mind. Now my life has changed, I'm afraid to love you and feel pain, and keep complaining and pleading for help.

And my eye cries for you, and my soul calls to you.


Ini sebenarnya lagu klasik Arab. Best.
Lagu sebenarnya macam ni ~


 ~ Farid Al Atrache (Ya Gamil) ~

Masa kecik-kecik dulu, ummi selalu menyanyi lagu ini. Dah besar-besar ni, aku pula yang nyanyikan untuk anak-anak. Kadang - kadang untuk suami.

Tak nak dengar pun tak apa. Cuma aku suka. Biarlah aku je yang dengar.







Wednesday, June 1, 2011

Bila Bulan Berwarna Biru



Nourah melemparkan pandangannya jauh ke luar jendela.
Dia mendongak ke langit. Hanya sebutir dua bintang yang kelihatan. Bulan yang terang kelihatan tadi, kini makin samar. Malam ini, Nourah sangat sedih. Malam ini, Nourah sungguh-sungguh tak boleh lupa. Malam ini, tarikh yang sama, beberapa tahun yang dulu.

"Nourah, ayah nak inhaler" kata pak ciknya.

Nourah bergegas membuka beg ayahnya, mencari inhaler. Allah, ada tiga ni. Yang mana satu? Nourah membawa ketiga-tiganya kepada ayahnya yang menunggu di kerusi. Tiada satu pun antara ketiga-tiganya yang berjaya.

"Ayah pergi klinik?" Usul Nourah sambil mengelap-ngelap peluh yang datang entah dari mana, di tubuh ayahnya. Ayah mengangguk lemah. MasyaAllah, ayah yang tadi sihat walafiat, tiba-tiba menjadi selemah ini. Nourah cemas.

Ayah dibawa ke hospital ditemani ummi, pak cik dan pak su. Nourah yang menunggu di rumah, sabar menanti kepulangan mereka.

Panggilan telefon, menafikan penantian Nourah . Ayah dah tiada, Allah lebih menyayanginya. Malam itu, Nourah dan adik-beradiknya kehilangan ayah yang tercinta. Malam itu, ummi ditinggalkan ayah buat selamanya.
             
                                                        ********

Sebelum ayah pergi, ayah sihat. Sihat macam orang lain. Hari terakhir itu, ayah memandu dari Selatan ke Utara. Dalam kereta ayah pasang lagu Selimut Putih.

"Selimut putih tu, apa?" Ayah berteka-teki.
"Kain kafan...." balas Ummi.
"Betul..pandai.." sahut Ayah.
~Nourah baru sedar ayahnya memberi bayangan kematiannya. Di situ.

Sehari sebelum itu, ayah sambil senyum-senyum bertanya pada Nourah dan anak-anaknya yang lain.
"Ayah nak pindah...siapa nak ikut ayah?"
"Ayah nak pindah mana? Tak nak lah, sini dah best..." Balas Nourah.
"Tak nak ikut tak apa, ayah pindah sorang-sorang.... Ayah nak buat rumah kayu.."
~Nourah baru faham makna pindah ke rumah kayu.

Seminggu sebelum itu, Nourah terlihat ayah menangis.
Nourah hairan, ayah tak pernah menangis sebelum ini.
"Ayah terlalu rindukan Baitullah. Ayah terbayang-bayang ayah ada di sana, sekarang..."
~ Di saat ayah menghembuskan nafas terakhir, Abang Long berada di Tanah Suci, dan sebelum Abang Long diberitahu tentang pemergian ayah, kata Abang Long, dia terasa-rasa seperti ayah di sana bersamanya. Nourah termangu.

Hari-hari sebelum itu, ayah tidur di atas lantai.
"Kenapa ayah tidur atas lantai ni? Nanti sakit belakang tau, ayah"
"Tak apa, tidur kat bawah ni tenang je, sejuk...."
~ Baru Nourah faham kenapa ayah kata tidur di bawah. Bawah sana.

Hari-hari yang sebelum itu lagi, ayah melihat-lihat kalendar.
"Tahun ni ayah dah 60 tahun. Ikut bulan Hijrah, ayah 63 tahun. Ikut Nabi (s.a.w), 63 tahun dah tak ada..."
~ Ayah menghitung hari. Ayah dah tahu kah?

********

Kepulangan ayah ke Rahmatullah, masih Nourah dan keluarganya rasai hingga kini. Tidak pernah walau sejenak, mereka lupakan ayah.

Dan Nourah paling ingat, hari yang terakhir itu, wajah ayah sangat manis. Ayah senyum sepanjang hari. Juga Nourah sedar pada hari terakhir itu ayah merenungnya, dalam. Seolah-olah memberitahu, ini adalah renungan terakhir dari ayah. Anakku, renunglah ayah, kita takkan bersua lagi.

Nourah menyeka air matanya yang turun tanpa sedar. Al-Fatihah, ayah. Semoga ruh ayah dicucuri rahmat dan ayah ditempatkan bersama golongan yang saleh. Nourah rindukan ayah. Nourah sekali lagi mendongak ke langit. Bulan yang samar tadi, sudah bertukar warna. Bulan sudah berwarna biru.


~Al-Fatihah untuk ayahku dan untuk semua umat Islam yang telah pergi menemui Rabbul Izzati~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...