Monday, May 30, 2011

Bukan Perkara Mudah

Kanak-kanak.
Suka bermain dengan permainan.
Bila ada mainan baru, maka mainan lama diketepikan.

Lelaki umpama kanak-kanak.
Bila bertemu permainan baru, permainan lama disisihkan.

Kawanku ini namanya Nawal. Sungguh-sungguh dia mahu bertemu. Janji diatur, dan kami berjumpa. Di saat dia menanggalkan cermin mata hitamnya, aku terkedu.

"Kenapa dengan kau? Mata kau bengkak, hidung kau merah... Kau menangis?" aku pegang pipi Nawal yang bersih licin. Nawal pandang aku, dalam. Airmatanya tiba-tiba mengalir. Aku telan air liur. Masih tiada jawapan. Hanya tangisan. Aku sabar menunggu. Mesti teruk, kalau tidak dia ni susah menangis.

"Zahid, dia ada orang lain....." Nawal teresak-esak. "Aku dah lama syak, baru semalam dia mengaku. Selama ini, patutlah dia tak bagi aku tengok handphone dia. Asyik sibuk dengan kerja tak balik-balik rumah dua-tiga hari..." Dia mengesat hidungnya.

Aku diam lagi. Membiarkan Nawal mencurah kesedihan sepuasnya.

"Kalau aku call, susah sangat dia nak jawab. Bila kat rumah, telefon tak henti-henti berbunyi. Depan aku, dia reject call tu, lepas tu dia jauh sikit dari aku, berbunyi lagi, baru dia jawab. Itu pun berbisik-bisik... Dah lama, dari tahun lepas tapi aku buat tak kisah je sangat sebab tak mahu buruk sangka pada suami sendiri... Rupa-rupanya dalam diam dia buat aku macam ni..."

Aku angguk. Cuba membayangkan apa yang diceritakan.

"Malam tadi, dia balik. Macam biasa telefon berbunyi-bunyi. Dia cuba jawab sembunyi-sembunyi tapi aku dah geram sangat, aku rampas telefon tu. Baru lah terbongkar, dan baru lah dia mengaku. hancur sangat hati aku!!"  Nawal sudah dapat mengawal tangisan.

"Kahwin?"

"Dekat sempadan sana tu. Patut makin dingin dengan aku selama ni.. Sebab dah ada orang baru yang dia bagi tumpuan.. Aku langsung dia tak pandang sekarang. Balik rumah, tak pernahnya tak penat. Kau bayangkan, dari tahun lepas. Rupanya aku ni barang lama, dia dah jemu"
Dan lepas tu segala masalah dalaman rumah tangga tersingkap. Dari cerita pagar rumah sampailah ke masalah di bilik beradu. Sepetang juga aku luangkan masa untuk meredakan kemelut di hati Nawal. Shoulder to cry. Ye lah sangat tu.

Ini kejadian semalam.
Tapi aku tak henti-henti memikirkannya sampai sekarang.

Nawal cantik. Melihat Nawal, tiada yang menyangka dia ibu kepada beberapa  orang cahaya mata. Cantik yang semulajadi.
Bijak dan baik. Walaupun suaranya agak kuat, tapi dia sopan. Dan Nawal yang aku kenal memang penyabar orangnya.
(Buktinya, dah setahun kan, Zahid buat dia macam tu..dia diamkan aje!)
Pun begitu semua itu belum cukup bagi Zahid. Zahid masih mencari yang lain. Ya lah, tiada manusia yang sempurna tapi bagi aku tak wajar tindakan Zahid membelakangkan Nawal, semata-mata kerana Zahid sudah ada yang baru.

Aku bukan anti poligami, dan bukan penggalak poligami. Cuma bagi aku, andainya hidup dalam keadaan begini, Sang Suami wajiblah berlaku adil. Besar tanggungjawabnya beristeri lebih dari satu seperti ini.

Kepada Nawal, aku katakan padanya "Sabar lagi kerana ujian ini adalah kayu pengukur, kau sayang suami lebih kah atau kau sayang Allah lebih dari suami. Berat mata aku memandang, aku tahu berat lagi bahu kau memikul tapi ini tandanya Allah sayang kau. Allah nak bagi kau saudara seIslam. Buruk-baik dia, biar Allah yang balas. Kau terimalah perlahan-lahan hakikat ini, kau redha kan lah. Besar hikmahnya..."
dan bla-bla-bla... Aku bagi hadis, aku bagi apa-apa saja doa yang aku tahu, untuk menenangkan hati. Nawal mula tersenyum. Aku tahu, senyum dalam kepahitan.

Aku kagum pada Nawal. Ini bukan perkara mudah. Tabahnya dia.

Aku bertekad mengajar anak-anak aku supaya jangan membuang atau jangan abaikan mainan yang lama jika ada mainan baru.

Supaya besar nanti, jika mereka mahu beristeri satu, dua, tiga atau empat, mereka tidak membuang mana-mana dari tumpuan. Tidak mengenepikan yang lama, jika ada yang baru. Supaya mereka tahu berlaku adil. Supaya mereka tahu, perkahwinan bukan semata-mata bersandar pada nafsu.


~ Nawal dan Zahid bukan nama sebenar  ~






Saturday, May 28, 2011

Mix Blood



Dulu.
Aku suka sangat tengok orang yang cantik-cantik, kacak-kacak.
Selalu kagum.
"Wah lawanya dia ni........."
"Wah hensemnya dia tu....."
Lepas tu berangan.
"Kalau lah aku lawa macam dia......."
"Kalau lah dapat kawan dengan dia....."
Terlupa, setiap ciptaan Allah itu sempurna dan cantik (Kurang bersyukur dengan kurniaan Allah, kan?)

Lepas tu, sangat suka juga dekat orang-orang bijak pandai.
Kaum-kaum ini, memang lahir-lahir dah genius ke, atau diorang pun belajar juga?
Dan ada lah fakta-fakta yang berbunyi, genius ini baka. Oh betul?
Berangan lagi.
"Kalaulah genius dan bijak macam diorang ni...."
Terlupa lagi, Rasulullah dah pesan ~ Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad ~
( Cerdik tidak diwarisi, tetapi perlu dicari...)

Dan aku selalu berangan akan kombinasi cantik + cerdik.
Dan selalu juga dengar kata-kata macam ni..
"... Beruntungnya jadi orang kacukan, kan. Dah lah cantik, orang kata darah campur ni cerdik.." Oh ye ke....
Lepas tu, aku pun berangan berganda-ganda.
"Kalaulah anak-anak aku nanti mix-blood....." Hihihi....
Cuma waktu tu, berangan je lah. Mana terfikir pun nak kahwin dengan orang bukan Melayu.


Sekarang.
Dalam MyKid anak-anakku tertulis begini:
Keturunan : Darah campur. Kacukan. Mix-blood.
*Aku tipu. Mana ada macam tu dalam MyKid... *

Maka yang sering singgah di pendengaran
" Ohh...ikut Abi dia. Patutlah..." *Oiiittt.. Nampak sangat aku ni tak lawa. Sentap tau tau tauuu? Ngeee~~~*
(Excuse me, bukan itu faktor tunjangnya. Sebenarnya itu berkat Surah Yusuf!)
" Ohh pandainya...memang budak-budak mix-blood ni bijak-bijak, kan...?"
(Sekali lagi excuse me, itu pun bukan sebab utamanya.  Itu berkat Surah Luqman!)

 Allah Maha Kaya. Maha Mendengar. Dia memberikan aku nikmat ini sebagai ujian.  Dia menguji ku, sama ada aku berbangga dan bermegah-megah atau aku bersyukur dan berkongsi nikmat ini dengan yang lain. Oh !Terlupa nak kongsi yang ini, aku tambahkan lagi dengan bacaan Surah Anbia. Untuk hati dan kelakuan. Ada berkatnya di situ.


Alhamdulillah.
Dengan ujian dan nikmat ini, aku mahu mengenalMu dengan lebih jauh.
Terima kasih Ya Allah.






Thursday, May 26, 2011

Nothing...?



Question  : Is there is a thing which is last forever?

Answer    : Hmm.... Nothing.


Conclusion =

If NOTHING last forever,
I really wish he will be my NOTHING
....so he last forever....







~ I want to be his NOTHING laaahhh ~







Tuesday, May 17, 2011

Dalam Hati Ada Cinta



Kalau dalam hati ada cinta, dalam perut pula selain makanan dan minuman dan organ-organ, ada apa lagi ya?
Dalam perut wanita yang mengandung ada bayi. Sungguh Allah Maha Kaya. Aku suka tengok perempuan hamil.


Dan aku sendiri suka sangat kalau rezeki untuk itu ada lagi. InsyaAllah. 


Hamil.
Buat aku rasa teruja. Walaupun pening dan rasa nak muntah, alah macam-macam tapi aku anggap itu nikmat yang Allah beri. Alhamdulillah bila hamil aku dapat merasa pengalaman ini, sebab aku yang normal agak susah nak sakit + pening.

Masa ni dapat bermanja-manja lebih banyak dengan suami. Hhhheee. Best. Tapi setakat manja-manja aje lah, bukan mengada-ngada. Diulang, manja, bukan mengada.

Lepas tu, masa sedang berbadan dua ini lah aku terlebih rajin. Pembawaan budak. Kalau kita rajin, maka anak nanti pun rajin. Begitulah sebaliknya. Dan aku setuju, berdasarkan sains dan fakta. Dan rajin ini membuatkan kita perlu banyak bergerak. Bagi aku sangat bagus kerana memudahkah proses kelahiran. Sekali lagi aku setuju.

Rajin memasak, rajin mengemas, rajin membaca, rajin menonton, hehehhhheee... Rajin lah tu, kannn.

Bila preggy, aku rasa seronok sewaktu insan di dalam menendang-nendang dan bergerak-gerak. Subhanallah.

Hamil membuatkan saiz tummy membesar, tapi aku suka. Hanya waktu inilah perutku akan berubah saiz, kalau tak my tummy flat macam plywood. Suamiku kata big tummy with baby inside, itu seksi. Hihihi... Terima kasih.

Dan aku suka hamil sebab mengajar aku lebih bertanggungjawab. Untuk aku dan umat Muhammad s.a.w yang bakal lahir. Aku lebih peka pada kewajipanku sebagai seorang Muslim, isteri dan ibu. Aku akan membaca Al-Quran setiap kali selesai sembahyang. Tak lupa surah-surah tertentu yang menjadi panduan. Hasilnya anak-anakku memang dekat dan sebati dengan hal-hal sebegitu. Alhamdulillah.

Lagi..bila hamil aku tak payah risau pasal monthly visitor..tiada keuzuran untuk menghalang apa-apa aktiviti. Faham...? Hihihi...



Kejap, kenapa aku cerita pasal ni..?






Friday, May 6, 2011

Sekadar Aku Bersuara

Aku = Saya
Aku + Kamu = Kita
Aku + Dia = Kami
Dia + Kamu = Mereka
Kita + Kami + Mereka = Manusia.
Aku = Manusia
(",)
*penaakulan mantik lah sangat*

Aku adalah manusia. Makhluk yang paling mulia. Diciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Itu firman Allah yang pasti. Maka aku adalah yang terbaik. Sama dengan kamu, dia dan mereka.

Aku berjanji itu dan ini kepada Maha Pencipta sebelum lahirnya aku ke bumi ini, namun tepatkah aku pada janji?

Allah memberikan padaku nikmat dan ujian. Wajibnya aku bersyukur pada nikmat, sabar dan redha dengan ujian namun begitukah aku... Bersyukurkah? Bersabar dan redhakah?

*see...batu pun tahu bersyukur dan bersujud. Aku?*

Allah mengurniakan akal dan fikiran untuk manusia berfikir. Di manakah letaknya akal dan fikiran sekiranya tidak dapat membezakan yang hak dan batil?

Allah menegaskan sebaik-baik manusia di sisiNya ialah yang beramal dan bertakwa. Siapakah pula kita untuk membandingkan paras dan rupa, darjat dan harta?

Aku sentiasa ingin tahu tentang masa depan supaya senang membuat perancangan. Adakah aku akan terus bernafas selama mana yang aku harapkan?

Aku sering mengharapkan kebaikan dibalas kebaikan, namun aku sedar sebenarnya amat sukar mencari keikhlasan dalam perbuatan. Ke manakah hilangnya ia?

Aku mendambakan kepergianku nanti ke alam sana, diiringi doa yang tiada kesudahan tanda ingatan dan kasih sayang. Namun adakah aku layak untuk menerima ganjaran yang berlanjutan itu sedang hati tidak mempersiapkan diri ke arah itu..?

Aku mengatakan tidak perlukan nama dan sanjung puja, tapi benarkah begitu andai hakikatnya apa yang kubuat sememangnya menjurus untuk mencipta nama dan untuk disanjung, dipuja-puja?

Aku arif sebagai wanita, menghias diri dan rupa adalah untuk tatapan insan bergelar suami-raja di hati sahaja namun mengapa dikala berpergian masih berdandan lawa dan berwangi-wangian?

Aku tahu sebagai suami halal untuk melihat keindahan insan bergelar isteri-suri di hati walau tanpa seurat kain namun mengapakah mata masih nakal mengekor kelibat yang lain?

Aku mahu berubah dari begitu dan begini. Aku mahu benar-benar menjadi yang terbaik. Namun itu hanya ungkapan yang tidak disertakan perlakuan.



Aku = Manusia. Manusia memang begini sifatnya.
*monolog untuk diri sendiri*







Tuesday, May 3, 2011

Dendam yang Terindah


Awal pagi tadi aku baca blog Me Inside Out~Safiyyah. Baru je aku terjumpa Me Inside Out ni...dah jumpa terus addict nak baca. Aku sangat suka....biar aku simpan sendiri kenapa aku suka. Dan yang paling best *yang ni tak pe aku cakap, haha* dia ni misteri sebab takde la dia tunjuk dia siapa, gambar pun tak de..

Eh, aku ada ke? Hhehee.... (",)

Ceritanya pasal kawan. Sahabat. Rakan. Pal. Apa-apa je. Terasa juga sebab pernah terjadi dulu. Malas nak huraikan panjang-panjang....sebab benda dah berlalu dan keadaan dah tak sama macam dulu.

Masih teringat lagi bagaimana rasanya bila kawan-kawan terdekat, tiba-tiba menjauhkan diri. Kita tak tahu pun kenapa dan apa puncanya, tup-tup dah jadi pulau. Siap ada kawan-kawan sampingan lagi yang tolong besarkan pulau tu. Dan serius sampai sekarang aku tertanya-tanya sendiri kenapa. Sampai sekarang masih tak tahu jawapan dan aku tak mahu tahu pun sebenarnya sekarang. Kalau dulu ya, memang aku nak sangat tahu tapi sesuai peredaran masa, aku dah tak mahu ambil tahu. Yang lepas biarlah lepas.

Kenapa ya.
Sebab bagi aku, kalau pun pulau tu terbentuk atas kesalahan aku, aku harap mereka sudah memaafkan aku. Kalau tak dulu, mungkin sekarang mereka boleh maafkan sebab masing-masing dah berusia dan boleh berfikir. Tapi bagi aku lah waktu tu, jangan buat pulau boleh tak? Just tell me what's wrong and aku akan cuba perbaiki diri, mana-mana yang mereka tak suka. Walaupun kita semua tahu kita tak boleh puaskan hati semua orang. Kan.

Dan aku pula, waktu itu walaupun aku rasa mereka yang bersalah *biasalah waktu-waktu begini semua saling menyalahkan*, sebenarnya aku dah lama maafkan mereka walau hati aku sangat terluka. Dalam betul lukanya waktu itu. Ceh. Tapi aku tak pernah simpan dendam sikit pun. Aku tetap senyum dan cuba-cuba menegur tapi pulau nampaknya semakin jauh dari daratan.

Tak apalah.
Dan aku tetap mencuba untuk menambak semula pulau itu walau sangat susah pada waktu itu. Sampailah pengajian kami berakhir. Dan aku masih gagal menyatukan semula pulau yang terbentuk. Aku pasrah.

Ya Allah kalau salah tingkahku pada mereka, Kau bukakan lah pintu hati mereka untuk memaafkanku. Dan kiranya ini semua terjadi kerana mereka sendiri, aku telah lama memaafkan mereka.

Tahun-tahun berlalu.
Kami bertemu semula dalam keadaan yang berbeza. Cerita lama langsung tidak terungkap tapi aku berharap mereka juga sudah melupakan apa yang berlaku, sama seperti aku. Tiada dendam, dan maafkan saja.

Kerana kemaafan adalah dendam yang terindah.






Sunday, May 1, 2011

Rindu Pada Kenangan


*Kali ini aku nak emo sikit. Ceh*


Sejak dua tiga hari lepas hati disapa rindu yang teramat sangat pada kenangan-kenangan yang lalu. Tak tahu kenapa...mungkin kerana perubahan usia. Mungkin juga disebabkan hidup yang putarannya seperti roda.

Ayah. Insan yang memang sentiasa aku rindukan setiap saat dan ketika. Tapi kali ini rindu itu datang berlebih-lebih pula. Bezanya kalau dulu aku rindukan ayah, airmata ini pasti jatuh berlinang-linang...kini kumampu bertahan. Itulah, mungkin kerana usia yang kian bertambah barangkali. Tenanglah wahai hati, semoga ayahku bahagia di dunia sana.

Ummi. Sehingga kini aku masih rindu untuk berada di dalam dakapannya walaupun aku sudah menjawat gelaran yang sama sepertinya. Memeluk permata-permataku, mengingatkan aku betapa kasih ibu tidak ternilai langsung walau dibalas dengan nyawa sekalipun. Dan seperti insan-insan lain, aku sentiasa rindukan ibuku...tidak pernah tidak walau sedetik pun.

Kenangan. Ini pun satu...kebelakangan ini aku jadi rindu pada kenangan-kenangan lalu. Berlasak-lasak bersama abang-abangku, kadangkala agak girlish juga bila bersama kakakku yang satu...dan dengan adik-adikku. Rindu pada gurauan mesra dan gelak tawa yang menghiasi teratak kecil kami. Bahagia walaupun tak berada tapi mewah dengan kasih sayang. Ya aku sangat rindu.

Musim berubah....pantas. Tak sedarpun masa berlalu begitu cepat. Aku turut berubah. Tak banyak, sikit. Tetap ada perubahan. Telah lama aku tinggalkan segala-galanya yang menjadi milikku dulu demi kehidupan yang ku miliki kini. Jujurnya sangat membahagiakan walau ada ketikanya ombak dan badai malah tsunami pun pernah datang menduga.

Di saat menatap ke dalam mata dua insan kecil yang dianugerahkan Ilahi ini, kerinduan pada zaman yang masih tiada dosa dulu semakin menggamit. Alangkah bertuahnya menjadi kanak-kanak kerana di saat itu tiada catatan kiri atau kanan. Tiada masalah dan tiada beban. Sentiasa ada ayah dan ibu menjadi teman. Namun itu semua hanya kenangan kann..

Dan aku rasa, yes why not... Aku rindukan kenangan kerana dengan kenangan, aku yakin dapat membentuk masa depan. Kenangan yang terindah aku jadikan panduan. Yang tak berapa nak indah tu aku simpankan, buat sempadan.

Supaya dapat aku fikirkan kembali.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...