Monday, May 30, 2011

Bukan Perkara Mudah

Kanak-kanak.
Suka bermain dengan permainan.
Bila ada mainan baru, maka mainan lama diketepikan.

Lelaki umpama kanak-kanak.
Bila bertemu permainan baru, permainan lama disisihkan.

Kawanku ini namanya Nawal. Sungguh-sungguh dia mahu bertemu. Janji diatur, dan kami berjumpa. Di saat dia menanggalkan cermin mata hitamnya, aku terkedu.

"Kenapa dengan kau? Mata kau bengkak, hidung kau merah... Kau menangis?" aku pegang pipi Nawal yang bersih licin. Nawal pandang aku, dalam. Airmatanya tiba-tiba mengalir. Aku telan air liur. Masih tiada jawapan. Hanya tangisan. Aku sabar menunggu. Mesti teruk, kalau tidak dia ni susah menangis.

"Zahid, dia ada orang lain....." Nawal teresak-esak. "Aku dah lama syak, baru semalam dia mengaku. Selama ini, patutlah dia tak bagi aku tengok handphone dia. Asyik sibuk dengan kerja tak balik-balik rumah dua-tiga hari..." Dia mengesat hidungnya.

Aku diam lagi. Membiarkan Nawal mencurah kesedihan sepuasnya.

"Kalau aku call, susah sangat dia nak jawab. Bila kat rumah, telefon tak henti-henti berbunyi. Depan aku, dia reject call tu, lepas tu dia jauh sikit dari aku, berbunyi lagi, baru dia jawab. Itu pun berbisik-bisik... Dah lama, dari tahun lepas tapi aku buat tak kisah je sangat sebab tak mahu buruk sangka pada suami sendiri... Rupa-rupanya dalam diam dia buat aku macam ni..."

Aku angguk. Cuba membayangkan apa yang diceritakan.

"Malam tadi, dia balik. Macam biasa telefon berbunyi-bunyi. Dia cuba jawab sembunyi-sembunyi tapi aku dah geram sangat, aku rampas telefon tu. Baru lah terbongkar, dan baru lah dia mengaku. hancur sangat hati aku!!"  Nawal sudah dapat mengawal tangisan.

"Kahwin?"

"Dekat sempadan sana tu. Patut makin dingin dengan aku selama ni.. Sebab dah ada orang baru yang dia bagi tumpuan.. Aku langsung dia tak pandang sekarang. Balik rumah, tak pernahnya tak penat. Kau bayangkan, dari tahun lepas. Rupanya aku ni barang lama, dia dah jemu"
Dan lepas tu segala masalah dalaman rumah tangga tersingkap. Dari cerita pagar rumah sampailah ke masalah di bilik beradu. Sepetang juga aku luangkan masa untuk meredakan kemelut di hati Nawal. Shoulder to cry. Ye lah sangat tu.

Ini kejadian semalam.
Tapi aku tak henti-henti memikirkannya sampai sekarang.

Nawal cantik. Melihat Nawal, tiada yang menyangka dia ibu kepada beberapa  orang cahaya mata. Cantik yang semulajadi.
Bijak dan baik. Walaupun suaranya agak kuat, tapi dia sopan. Dan Nawal yang aku kenal memang penyabar orangnya.
(Buktinya, dah setahun kan, Zahid buat dia macam tu..dia diamkan aje!)
Pun begitu semua itu belum cukup bagi Zahid. Zahid masih mencari yang lain. Ya lah, tiada manusia yang sempurna tapi bagi aku tak wajar tindakan Zahid membelakangkan Nawal, semata-mata kerana Zahid sudah ada yang baru.

Aku bukan anti poligami, dan bukan penggalak poligami. Cuma bagi aku, andainya hidup dalam keadaan begini, Sang Suami wajiblah berlaku adil. Besar tanggungjawabnya beristeri lebih dari satu seperti ini.

Kepada Nawal, aku katakan padanya "Sabar lagi kerana ujian ini adalah kayu pengukur, kau sayang suami lebih kah atau kau sayang Allah lebih dari suami. Berat mata aku memandang, aku tahu berat lagi bahu kau memikul tapi ini tandanya Allah sayang kau. Allah nak bagi kau saudara seIslam. Buruk-baik dia, biar Allah yang balas. Kau terimalah perlahan-lahan hakikat ini, kau redha kan lah. Besar hikmahnya..."
dan bla-bla-bla... Aku bagi hadis, aku bagi apa-apa saja doa yang aku tahu, untuk menenangkan hati. Nawal mula tersenyum. Aku tahu, senyum dalam kepahitan.

Aku kagum pada Nawal. Ini bukan perkara mudah. Tabahnya dia.

Aku bertekad mengajar anak-anak aku supaya jangan membuang atau jangan abaikan mainan yang lama jika ada mainan baru.

Supaya besar nanti, jika mereka mahu beristeri satu, dua, tiga atau empat, mereka tidak membuang mana-mana dari tumpuan. Tidak mengenepikan yang lama, jika ada yang baru. Supaya mereka tahu berlaku adil. Supaya mereka tahu, perkahwinan bukan semata-mata bersandar pada nafsu.


~ Nawal dan Zahid bukan nama sebenar  ~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...