Friday, August 19, 2011

Yang Bernama Manusia



Sifat manusia, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.
Sering lupa untuk bersyukur dengan apa yang Allah swt beri.
Diberi satu, mahu dua.
Diberi batu, mahu permata.
Diberi betis, mahu bulu betis pula. Eh silap... Di beri betis, mahu paha.

Sifat manusia, sering menyalahkan takdir untuk setiap musibah.
Jarang sekali bermuhasabah untuk redha dengan Qada' dan Qadar dari Allah.
Mengapa Allah menguji aku begini.
Mengapa aku yang Allah uji.
Mengapa begitu...dan mengapa begini..

Sifat manusia, alpa untuk menghargai apa yang ada di depan mata.
Bila tiada, barulah teraba-raba mencari ke mana hilangnya ia.
Kalaulah dia tahu aku menyayanginya.
Kalaulah aku tunjukkan betapa aku memerlukannya.
Kalaulah...dan kalaulah...
Tapi, kalau itu sudah terlambat rupanya.

Sifat manusia, sering berfikir untuk mengundurkan masa.
Mahu mengulangi kenangan terindah dan mengubah sejarah.
Andai dapat ku undurkan putaran dunia, ingin ku ubah semula kata-kata dan tingkah laku ku yang salah.
Andainya dapat ku ulang semula di suatu zaman yang bernama remaja.
Andai detik yang berlalu dapat ku tarik semula.

Sifat manusia, mahu yang terbaik dari apa yang ada.
Sering mengharapkan keajaiban untuk merubah suasana.
Kalaulah kaca menjadi intan.
Kalaulah besi menjadi suasa.
Kalaulah belacu menjadi sutera.

Sifat manusia, memang begitukah?

Aku tidak mahu menjadi manusia yang sebegitu. Manusia yang sifatnya tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Aku juga tidak mahu menjadi manusia yang sering menyalahkan takdir. Aku tidak mahu tergolong dalam kelompok manusia yang tidak pandai menghargai apa yang ada di depan mata. Aku juga tahu, mustahil untuk mengundur masa untuk membetulkan kekhilafan lalu. Aku mahu redha, seredhanya dengan ketetapan yang tertulis di Luh Mahfuz.

Aku mahu menjadi seorang manusia yang tahu bersyukur.

Tetapi, aku ini namanya manusia.
Mahu atau tidak, sudah namanya manusia...maka sifatnya memang begitulah.

Aduhai.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...