Thursday, November 17, 2011

Boleh Terima Atau Tidak


Seorang lelaki dewasa dengan khusyuknya sedang menikmati sebatang lolipop saiz besar sambil mundar-mandir di hadapan kami. Anak-anakku ~ Abang dan Adik~ memandang lelaki itu dengan wajah tanpa emosi.

"Nak ?" pelawanya sambil menyuakan beberapa batang lolipop yang masih berbungkus kepada mereka.

"Tak nak, terima kasih" kata Abang. Aku senyum lega. " Uncle makan ini selalu?"

"Ye....sedap" katanya sambil tersenyum.

"Tak baik makan selalu, nanti uncle sakit. Tadi saya tengok uncle makan ini pun tak baca doa, sekarang uncle makan berdiri juga. Emak uncle mesti tak suka..." balas Abang sungguh-sungguh. "Bila tak baca doa, syaitan pun ikut makan sama."

Lelaki itu diam. Dikeluarkan lolipop dari mulutnya sambil matanya tak lepas memandang Abang dan Adik.
Aku dah mula bimbang, mana tahu kata-kata anakku yang baru 6 tahun itu menyinggungnya. Kemudian dia menghulurkan tangan kepada Abang.

"Mari uncle nak salam. You such a good boy..."

Aku tarik nafas lega.

******************************

Aku dan anak-anak sedang menunggu kedatangan suami untuk membawa kami pulang pada waktu itu. Kelihatan seorang remaja dalam belasan tahun sedang menyedut dalam-dalam sebatang rokok. Sedutan yang penuh nikmat mungkin baginya. Aku melarikan pandangan dari melihat adegan itu.

Tidak jauh dari kami, remaja tersebut mencampak puntung rokok ke lantai sambil memijak-mijaknya. Kemudian dia bersandar di tiang sebelah tong sampah.

Anak keduaku ~ Adik, 4thn~ bingkas bangun dari kerusi dan mengutip puntung rokok tersebut.

"Adik...!" panggilku.

"Na'am Ummi... Kejap ye.. Cikgu kata tak baik buang sampah merata-rata. Adik nak buang sampah ni dalam tong. Abang ni tak nampak kot tong sampah sebelah dia.." kata Adik dengan muka yang betul-betul innocent sambil memegang puntung rokok yang dikutip tadi.

"Eh eh....sini dik, sini...biar abang buat... Hehe..." puntung rokok di tangan Adik diambil remaja tersebut. Tersenyum-senyum dia memandang aku dan anak-anak aku.

"Tak baik hisap rokok, Cikgu kata siapa hisap rokok nanti jantung dia rosak " Adik memandangku. "Nanti cepat mati, kan Ummi?" serba salah, aku angguk. Straight forward betul, getusku.

"Ok, ok...hehe...." balas remaja itu dengan senyum kelat sambil mencampak puntung rokok ke dalam tong sampah.

***********************

Di kaunter kedai serbaneka 24jam. Lengang waktu itu.

"Adik nak bayar, Ummi..." kata Adik. Aku kemudian mendukungnya ke kaunter.

Cashier yang manis di kaunter itu ramah menegur Adik. Ketika dia mahu memberi wang baki, Adik merenung jejari cashier tersebut.

"Kenapa kakak ada kuku panjang?"

"Tak apa la.... Kenapa?" jawab cashier itu mesra sambil memasukkan barang yang aku beli ke dalam plastik.

"Tak cantik lah. Kuku panjang nanti syaitan gayut-gayut......" balas Adik jujur sambil menggayakan bagaimana rupa syaitan bergayutan di kuku. Aku dah mula rasa susah hati dengan kata-kata Adik, takut kena sembur dengan cashier cantik itu.

"Mana ada panjang sangat ni...sikit je... Nanti esok akak potong la...." senyum dia pada Adik.

"Ok......" Adik turun dari dukunganku. "Biar syaitan tak boleh gayut lagi dah" katanya sambil menggeleng-geleng kepala.

******************************

Aku bangun lewat sikit hari itu. Sikit je, tak jejas apa-apa pun tapi kalau dah tersasar dari rutin, memang aku nervous sikit. Kelam kabut aku dibuatnya.

Sebelum hantar anak-anak ke sekolah, aku pastikan diorang bersarapan dulu. Pagi, memang pergerakan anak-anak aku tak berapa nak laju.Tambah-tambah lagi bab makan, puas lah bersuruh. Barulah dapat habiskan sarapan diorang ni.

Tapi sebab pagi itu terlambat sikit dan aku panik tak pasal-pasal, aku gesa anak-anak makan cepat-cepat.

"Cepat sikit habibi... Kalau tak nak, tak payah habiskan... Dah lambat ni..." kataku sambil mengemas-ngemas meja.

"Tak baik tinggal makanan, nanti susah rezeki. Sunnah Rasulullah kunyah perlahan-lahan dan habiskan makanan dalam pinggan" tutur Abang sopan sambil mengunyah perlahan makanan dalam mulutnya.

Aku terkesima. Malu sendiri.

******************************


Orang dewasa, sanggup cakap macam tu? Aku sendiri, tak rasanya (",)

Kanak-kanak sangat jujur dan telus. Tak ada berkias-kias. Sekali tembak tepat, kena sasaran. Sama ada kita boleh terima atau tidak, itu saja.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...