Sunday, July 15, 2012

Update Tanpa Tajuk




Dunia ini bermacam-macam rasanya. Pahit, manis, tawar, masam, masin.

Dunia ini berputar-putar rentaknya. Jatuh, bangun, berdiri, berlari.

Allah Maha Adil.

Dia mahu menguji sejauh mana keimanan hambaNya di dalam menghadapi ujian kurniaanNya. Tidak diberi manis semata-mata tanpa ada rasa pahit, tawar, masam dan masinnya. Begitulah sebaliknya.

Tidak dibiarkan selamanya jatuh tanpa dibangunkan semula untuk berdiri dan berlari kembali. Begitu juga sebaliknya.

Aku faham semua itu. Namun kadangkala hati masih tertanya-tanya, dan disulami rasa bimbang pada ujian.


Update tanpa tajuk. Sekadar menjenguk halaman ini yang dah lama terbiar. Sibuk kononnya.






Friday, March 30, 2012

Perginya Seorang Putera


Al-Fatihah.




Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali.


Menerima berita kemangkatan Almarhum Dato' Seri Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah memang mengejutkan kami sekeluarga. Pukul 1.30pagi tadi selepas balik dari majlis zikir di Bukit Damansara, baginda mangkat akibat asthma dan alahan. Hujan mengiringi kemangkatan baginda Almarhum pada subuh Jumaat yang hening.

Almarhum yang kami kenali, yang kami panggil Shaykh Raja, secara peribadinya memang seorang putera yang sangat baik, mementingkan adab dan tatasusila, gemar berzikir, mesra rakyat dan sangat merendah diri.

Subhanallah, Allah memberikan aku peluang mengenali Almarhum Shaykh Raja melalui suamiku yang tercinta. 

Antara gurauan Almarhum yang aku paling ingat di awal perkahwinan aku dan suami.

"AJ, your husband treat you good?" katanya dengan senyum di sebelah suamiku. Aku pun senyum juga. Malu.

"Kalau dia nakal, bagitau saya.." sambungnya sambil menyucuk-nyucuk bahu suamiku. Suamiku tak kata apa-apa. (Sebab dia tak faham Bahasa Melayu)

Kini tinggallah Datin Seri Noraini Jane Tan Sri Kamarul Ariffin meneruskan hidup tanpa suami tercinta di sisi (we know you are strong, Kak Jane), dan tiga anaknda Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah, Puteri Emina Aliyyah dan Puteri Bainunisa Safia meneruskan hidup tanpa ayahnda mereka yang tersayang.


Tiada kekayaan dan kemewahan yang dibawa bersama, tiada gelaran kebesaran dan pangkat dunia yang diusung bersama, tiada harta yang disisip bersama, tiada ahli kerabat dan zuriat diraja yang disemadi bersama....hanyalah amal-saleh, sedekah jariahnya, ilmu yang dikongsi dan doa dari anaknda yang menjadi peneman menerangi tempat semadi di alam sana.

Tenanglah Shaykh Raja, semadilah dengan aman, semoga tidurmu kini menjadi tidur yang amat tenang dan aman. Tidurlah seperti pengantin. InsyaAllah.


******************


~ Almarhum Shaykh Raja akan menjadi ingatan kami sekeluarga setiap kali kami memanggil NAMA SEBENAR anak kedua ku (Adik) kerana nama itu diberi oleh Almarhum. Mudah-mudahan terhimpun berkat di sebalik nama yang indah itu. Amin ~


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya, semoga Almarhum tenang di sana, ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal saleh.

Al-Fatihah.






Monday, January 23, 2012

Janji Ilahi

* Entry ini tiada sebarang unsur 18sx pun*


Satu malam yang dingin.
Bintang bertaburan di angkasa. Bulan dengan megah menunjukkan cahayanya.
Kedua-dua sang putera kecil yang dilahirkan untuk menjadi pejuang agama sedang lena diulit mimpi indah. Menunggang kuda sambil membawa pedang jihad fisabilillah. Hanya tinggal sepasang suami isteri duduk berduaan di tepi jendela kamar dengan langsir yang terbuka.


"Abang sibuk sangat sekarang. Maafkan abang kalau awak tak selesa dengan kesibukan melampau abang macam ni. Tapi abang janji, tak lama. Bagi abang masa sampai hujung tahun ni ya"

Aku diam. Angguk. "Tak apa abang. Saya faham"

"Abang tau kebelakangan ni, abang tak bagi tumpuan penuh untuk awak dengan anak-anak" dahiku diusap lembut. Aku rasa tenang sekali.

"Saya faham. Abang jangan risau. Saya doakan semuanya baik-baik. Abang jaga kesihatan..."

...tanganku dikucup. Hatiku sebak. Ketenangan yang aku rasa sekejap tadi mula berkocak.

"Banyak hal yang perlu abang selesaikan. Abang kena uruskan segera..takut tak sempat. Mana tau nanti abang mati. Abang tak mau tinggalkan awak dengan anak-anak terumbang-ambing"

Kerongkongku tersekat. Hidungku mula terasa pedih. "Kenapa abang cakap macam ni?" Mataku dah berkaca. Hai hati, tabahlah. Jangan emo sangat, pujuk diriku pada hatiku sendiri.

"Eh eh...awak menangis ya? Sayang rupanya awak dekat abang ya" suamiku ketawa-ketawa sambil memegang mukaku.

"Abang ni, buat saya risau tau" aku pura-pura menepis tangan suamiku. "Jangan cakap pasal mati-mati lagi tolong..." Hatiku berdegup kencang. Lengannya ku paut.
Memang 30++ tahun jarak usia yang terlalu jauh bezanya antara kami, menjadi faktor kegentaran jiwaku untuk memikirkan bahawa dia akan pergi dulu sebelumku, walau semua tahu ajal tak mengenal usia.

"Kan semua yang hidup, memang akan mati. Kita ni semua lahir adalah untuk mati.." Suamiku menarik nafas. "Mati itu pasti. Itu janji Ilahi. Cuma sebelum abang mati, awak jadilah isteri yang solehah, jangan suka melawan cakap abang. Didik anak-anak kita baik-baik.  Awak kan selalu cakap abang dah tua.. Kalau abang mati pun, bolehlah abang mati dengan aman" aku dipeluknya erat.

Memang sesekali aku suka usik dia veteran. *Veteran-veteran pun, tetap sihat dan kuat tau*
Kali ni tak cover dah, memang meleleh terus airmata aku.


*****************

Kata-kata tersebut sering bermain-main dibenakku. Aku tak tau nak fikir macamana kehidupan aku dengan anak-anak kalau janji Ilahi terjadi dalam masa yang begini. Bila janjiNya tiba, tidaklah dilambat atau dicepatkan walau sesaat. Redha atau tidak, itu adalah aturan takdir. Pasrah atau rela, itu adalah yang tertulis di ruang atas sana.

Janji Ilahi itu rahsiaNya yang Maha Besar.

Dulu pun sekali.
Aku tak pernah terlintas akan kehilangan Ayahku dalam masa yang terlalu singkat. Namun Ayah tetap pergi menemuiNya.
Hilang separuh nyawaku waktu itu.
Tapi yang pergi, tetap pergi. Yang hidup, perlu terus hidup.

Yang hidup perlu bersedia untuk mati. Kerana kematian adalah hakikat dalam setiap kehidupan.

Bersediakah aku untuk mati?
Bersediakah aku untuk menghadapi kematian?
Sedia atau tidak, ia tetap akan datang.

Semoga hidup dan matiku di dalam iman. Juga doa untuk kita semua. Amin Ya Allah.


**Perbualan di atas adalah perbualan antara aku dan suami di dalam bahasa asing yang telah di Melayukan. Aku memang teringin sangat nak panggil suami dengan panggilan Abang macam orang lain. Abang..sweet kan, sweet kannn?? **





Thursday, November 17, 2011

Boleh Terima Atau Tidak


Seorang lelaki dewasa dengan khusyuknya sedang menikmati sebatang lolipop saiz besar sambil mundar-mandir di hadapan kami. Anak-anakku ~ Abang dan Adik~ memandang lelaki itu dengan wajah tanpa emosi.

"Nak ?" pelawanya sambil menyuakan beberapa batang lolipop yang masih berbungkus kepada mereka.

"Tak nak, terima kasih" kata Abang. Aku senyum lega. " Uncle makan ini selalu?"

"Ye....sedap" katanya sambil tersenyum.

"Tak baik makan selalu, nanti uncle sakit. Tadi saya tengok uncle makan ini pun tak baca doa, sekarang uncle makan berdiri juga. Emak uncle mesti tak suka..." balas Abang sungguh-sungguh. "Bila tak baca doa, syaitan pun ikut makan sama."

Lelaki itu diam. Dikeluarkan lolipop dari mulutnya sambil matanya tak lepas memandang Abang dan Adik.
Aku dah mula bimbang, mana tahu kata-kata anakku yang baru 6 tahun itu menyinggungnya. Kemudian dia menghulurkan tangan kepada Abang.

"Mari uncle nak salam. You such a good boy..."

Aku tarik nafas lega.

******************************

Aku dan anak-anak sedang menunggu kedatangan suami untuk membawa kami pulang pada waktu itu. Kelihatan seorang remaja dalam belasan tahun sedang menyedut dalam-dalam sebatang rokok. Sedutan yang penuh nikmat mungkin baginya. Aku melarikan pandangan dari melihat adegan itu.

Tidak jauh dari kami, remaja tersebut mencampak puntung rokok ke lantai sambil memijak-mijaknya. Kemudian dia bersandar di tiang sebelah tong sampah.

Anak keduaku ~ Adik, 4thn~ bingkas bangun dari kerusi dan mengutip puntung rokok tersebut.

"Adik...!" panggilku.

"Na'am Ummi... Kejap ye.. Cikgu kata tak baik buang sampah merata-rata. Adik nak buang sampah ni dalam tong. Abang ni tak nampak kot tong sampah sebelah dia.." kata Adik dengan muka yang betul-betul innocent sambil memegang puntung rokok yang dikutip tadi.

"Eh eh....sini dik, sini...biar abang buat... Hehe..." puntung rokok di tangan Adik diambil remaja tersebut. Tersenyum-senyum dia memandang aku dan anak-anak aku.

"Tak baik hisap rokok, Cikgu kata siapa hisap rokok nanti jantung dia rosak " Adik memandangku. "Nanti cepat mati, kan Ummi?" serba salah, aku angguk. Straight forward betul, getusku.

"Ok, ok...hehe...." balas remaja itu dengan senyum kelat sambil mencampak puntung rokok ke dalam tong sampah.

***********************

Di kaunter kedai serbaneka 24jam. Lengang waktu itu.

"Adik nak bayar, Ummi..." kata Adik. Aku kemudian mendukungnya ke kaunter.

Cashier yang manis di kaunter itu ramah menegur Adik. Ketika dia mahu memberi wang baki, Adik merenung jejari cashier tersebut.

"Kenapa kakak ada kuku panjang?"

"Tak apa la.... Kenapa?" jawab cashier itu mesra sambil memasukkan barang yang aku beli ke dalam plastik.

"Tak cantik lah. Kuku panjang nanti syaitan gayut-gayut......" balas Adik jujur sambil menggayakan bagaimana rupa syaitan bergayutan di kuku. Aku dah mula rasa susah hati dengan kata-kata Adik, takut kena sembur dengan cashier cantik itu.

"Mana ada panjang sangat ni...sikit je... Nanti esok akak potong la...." senyum dia pada Adik.

"Ok......" Adik turun dari dukunganku. "Biar syaitan tak boleh gayut lagi dah" katanya sambil menggeleng-geleng kepala.

******************************

Aku bangun lewat sikit hari itu. Sikit je, tak jejas apa-apa pun tapi kalau dah tersasar dari rutin, memang aku nervous sikit. Kelam kabut aku dibuatnya.

Sebelum hantar anak-anak ke sekolah, aku pastikan diorang bersarapan dulu. Pagi, memang pergerakan anak-anak aku tak berapa nak laju.Tambah-tambah lagi bab makan, puas lah bersuruh. Barulah dapat habiskan sarapan diorang ni.

Tapi sebab pagi itu terlambat sikit dan aku panik tak pasal-pasal, aku gesa anak-anak makan cepat-cepat.

"Cepat sikit habibi... Kalau tak nak, tak payah habiskan... Dah lambat ni..." kataku sambil mengemas-ngemas meja.

"Tak baik tinggal makanan, nanti susah rezeki. Sunnah Rasulullah kunyah perlahan-lahan dan habiskan makanan dalam pinggan" tutur Abang sopan sambil mengunyah perlahan makanan dalam mulutnya.

Aku terkesima. Malu sendiri.

******************************


Orang dewasa, sanggup cakap macam tu? Aku sendiri, tak rasanya (",)

Kanak-kanak sangat jujur dan telus. Tak ada berkias-kias. Sekali tembak tepat, kena sasaran. Sama ada kita boleh terima atau tidak, itu saja.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...