Thursday, November 17, 2011

Boleh Terima Atau Tidak


Seorang lelaki dewasa dengan khusyuknya sedang menikmati sebatang lolipop saiz besar sambil mundar-mandir di hadapan kami. Anak-anakku ~ Abang dan Adik~ memandang lelaki itu dengan wajah tanpa emosi.

"Nak ?" pelawanya sambil menyuakan beberapa batang lolipop yang masih berbungkus kepada mereka.

"Tak nak, terima kasih" kata Abang. Aku senyum lega. " Uncle makan ini selalu?"

"Ye....sedap" katanya sambil tersenyum.

"Tak baik makan selalu, nanti uncle sakit. Tadi saya tengok uncle makan ini pun tak baca doa, sekarang uncle makan berdiri juga. Emak uncle mesti tak suka..." balas Abang sungguh-sungguh. "Bila tak baca doa, syaitan pun ikut makan sama."

Lelaki itu diam. Dikeluarkan lolipop dari mulutnya sambil matanya tak lepas memandang Abang dan Adik.
Aku dah mula bimbang, mana tahu kata-kata anakku yang baru 6 tahun itu menyinggungnya. Kemudian dia menghulurkan tangan kepada Abang.

"Mari uncle nak salam. You such a good boy..."

Aku tarik nafas lega.

******************************

Aku dan anak-anak sedang menunggu kedatangan suami untuk membawa kami pulang pada waktu itu. Kelihatan seorang remaja dalam belasan tahun sedang menyedut dalam-dalam sebatang rokok. Sedutan yang penuh nikmat mungkin baginya. Aku melarikan pandangan dari melihat adegan itu.

Tidak jauh dari kami, remaja tersebut mencampak puntung rokok ke lantai sambil memijak-mijaknya. Kemudian dia bersandar di tiang sebelah tong sampah.

Anak keduaku ~ Adik, 4thn~ bingkas bangun dari kerusi dan mengutip puntung rokok tersebut.

"Adik...!" panggilku.

"Na'am Ummi... Kejap ye.. Cikgu kata tak baik buang sampah merata-rata. Adik nak buang sampah ni dalam tong. Abang ni tak nampak kot tong sampah sebelah dia.." kata Adik dengan muka yang betul-betul innocent sambil memegang puntung rokok yang dikutip tadi.

"Eh eh....sini dik, sini...biar abang buat... Hehe..." puntung rokok di tangan Adik diambil remaja tersebut. Tersenyum-senyum dia memandang aku dan anak-anak aku.

"Tak baik hisap rokok, Cikgu kata siapa hisap rokok nanti jantung dia rosak " Adik memandangku. "Nanti cepat mati, kan Ummi?" serba salah, aku angguk. Straight forward betul, getusku.

"Ok, ok...hehe...." balas remaja itu dengan senyum kelat sambil mencampak puntung rokok ke dalam tong sampah.

***********************

Di kaunter kedai serbaneka 24jam. Lengang waktu itu.

"Adik nak bayar, Ummi..." kata Adik. Aku kemudian mendukungnya ke kaunter.

Cashier yang manis di kaunter itu ramah menegur Adik. Ketika dia mahu memberi wang baki, Adik merenung jejari cashier tersebut.

"Kenapa kakak ada kuku panjang?"

"Tak apa la.... Kenapa?" jawab cashier itu mesra sambil memasukkan barang yang aku beli ke dalam plastik.

"Tak cantik lah. Kuku panjang nanti syaitan gayut-gayut......" balas Adik jujur sambil menggayakan bagaimana rupa syaitan bergayutan di kuku. Aku dah mula rasa susah hati dengan kata-kata Adik, takut kena sembur dengan cashier cantik itu.

"Mana ada panjang sangat ni...sikit je... Nanti esok akak potong la...." senyum dia pada Adik.

"Ok......" Adik turun dari dukunganku. "Biar syaitan tak boleh gayut lagi dah" katanya sambil menggeleng-geleng kepala.

******************************

Aku bangun lewat sikit hari itu. Sikit je, tak jejas apa-apa pun tapi kalau dah tersasar dari rutin, memang aku nervous sikit. Kelam kabut aku dibuatnya.

Sebelum hantar anak-anak ke sekolah, aku pastikan diorang bersarapan dulu. Pagi, memang pergerakan anak-anak aku tak berapa nak laju.Tambah-tambah lagi bab makan, puas lah bersuruh. Barulah dapat habiskan sarapan diorang ni.

Tapi sebab pagi itu terlambat sikit dan aku panik tak pasal-pasal, aku gesa anak-anak makan cepat-cepat.

"Cepat sikit habibi... Kalau tak nak, tak payah habiskan... Dah lambat ni..." kataku sambil mengemas-ngemas meja.

"Tak baik tinggal makanan, nanti susah rezeki. Sunnah Rasulullah kunyah perlahan-lahan dan habiskan makanan dalam pinggan" tutur Abang sopan sambil mengunyah perlahan makanan dalam mulutnya.

Aku terkesima. Malu sendiri.

******************************


Orang dewasa, sanggup cakap macam tu? Aku sendiri, tak rasanya (",)

Kanak-kanak sangat jujur dan telus. Tak ada berkias-kias. Sekali tembak tepat, kena sasaran. Sama ada kita boleh terima atau tidak, itu saja.









Tuesday, November 8, 2011

Di Sebalik Wajah



#1. "Kenapa orang tu tutup muka dia, Mama?" Tanya seorang budak kepada ibunya sambil menunjuk-nunjuk ke arah aku. 
"Dia malu muka dia tak cantik kot" Emak budak itu selamba saja menjawab begitu sambil tersenyum-senyum kepada anaknya. 
Aku rasa waktu itu, mahu je aku tanggalkan niqab dan bandingkan muka aku dengan muka si  emak itu. Heh, patut ke tak patut? *Geram*

#2. "Eeeeeeeeee... Hantu KumKum la ibuuuu..." seorang budak kecil dalam troli shopping terjerit-jerit ke arah aku. Ibunya memalingkan muka untuk melihat aku. "Ha tu la, duduk diam-diam nanti dia ikut balik rumah. Nak?" Jawab emak budak itu. 
Aku tersenyum sendirian di sebalik niqabku. Kasihan. Bukan kasihan pada diri kerana dikata hantu, tetapi kasihan kepada si ibu kerana tidak bijak memberi ilmu kepada anak. Kan?

#3. "Korang yang tutup-tutup muka ni, tak lemas ke? Macamana korang bernafas ye?".
Aku mengetap bibir. " Habis tu, orang yang bertopeng ke masquerade party tu semua mati lah sebab tak boleh bernafas ye?" Jawabku semula.

#4. "Dah berbalut mukanya, macamana you all yang pakai purdah ni makan?"
Dalam banyak-banyak benda, soal makan juga yang kamu fikirkan? 
"Ini atas niat pemakaian itu sendiri. Muka bukannya aurat, niqab ini tujuannya untuk melindungi. Atas kebenaran suami, waktu makan saya tanggalkan pinnya. Dah habis makan, pin lah semula. Sesetengah orang, makanlah dari bawah niqab tu....tak ada masalah pun..."

#5. "Elehhh....tak payah la nak bertutup-tutup sangat, kat sini mana ada ribut pasir...kih kih kihhh...." Sekumpulan kakak-kakak dengan lipstik merah menyala dan ber-eye shadow biru ketawa-ketawa mengusikku. 
Aku memandang kakak-kakak itu. "Tak apalah, tak ada ribut pasir pun boleh pakai....lagipun kalau dah bertutup macam ni, orang lain pun tak perasan la kalau lisptik yang kita pakai tu ada terlekat dekat gigi...merah je...kan tak cantik....." 
Aku berlalu sambil tersenyum-senyum juga, tapi senyumanku terlindung di sebalik helaian niqab yang melindungi muka aku. Puas hati. Hemmm....tak jahat kan?

#6. "Muka you kan bertutup macam ni, daripada you beli gloss ni, orang tak nampak, better you beli maskara ke, eyeliner ke... Barulah terserlah mata you.." kata seorang jurujual yang cantik di kaunter sambil mengacu-acu dua batang eyeliner ke mukaku. 
Aku tarik nafas dalam-dalam. "Ohh....tak apa lah.... Saya nak gloss ini je..."
"Ooo... ha kalau macam tu, beli lah maskara ni sekali..." kata perempuan cantik itu lagi. "Buat eyelash you nampak sangat melentik dan buat mata you jadi cantik...."
"Tak pe, tak pe....Gloss ni saya pakai dalam rumah je, pakai untuk asben. Bukan nak bagi orang tengok pun"

********************************

Macam-macam pandangan orang terhadap perempuan yang berniqab. Macam satu kesalahan pula kalau kita memakainya. Yang peliknya, kalau perempuan yang pakai seksi-meksi tak ada pula orang nak pandang pelik. Memang pelik, kan.

Pernah sekali, aku lalu di hadapan sekumpulan remaja. Siap diorang tutup hidung bila aku melintas. Aku pun berhentilah depan diorang. Perlahan-lahan seorang dari mereka lepaskan nafas sambil senyum-senyum pada aku.
"Wei korang, kakak ni wangi laa....tak de bau pun..." 
Semua kawan-kawannya yang lain pun melepaskan nafas masing-masing.
"Sori kak, selalunya orang yang berpurdah macam ni baunya tak hengatt hapaknya.... Kami ingat akak pun macam tu... Rupanya akak tak.." Remaja berbaju Adidas bersuara mewakili teman-teman yang lain. "Sori ye kakkkk....."


Ada sekali juga, aku sedang melintas jalan untuk ke pondok bas, menunggu suamiku datang menjemput. Memang aku sedar banyak mata yang memandang kelat kepadaku waktu itu, lelaki dan perempuan. Agaknya ada Non-Muslim di situ yang tertanya-tanya mengapa aku berpurdah.  Aku terdengar nipis-nipis seorang perempuan cuba menerangkannya di akhir-akhir ayat.
"Orang moden dah tak pakai macam ini, ini orang dulu-dulu je.... Selalunya yang jenis duduk saja di rumah, ha, diorang pakai macam tu..."
Lelaki Non-Muslim itu menganguk-angguk. "Ooo jadi yang macam tu old fashion la?" Sambil mengerling ke arah aku.  "Kalau moden pakai macam awak ni?" Giliran perempuan itu pula mengangguk. "Selalunya diorang ni belajar tak tinggi.." Sambungnya dengan suara yang nipis-nipis, takut aku dengar agaknya. 

Dengan takdir Allah Taala, tiba-tiba telefonku berbunyi dan aku pun menjawabnya. Lama juga, dalam 10minit aku berbual di telefon. Usai berbicara di telefon, aku perasan lelaki Non-Muslim itu pandang-pandang aku, kemudian pandang-pandang perempuan tadi. Sambil perempuan tadi buat-buat tak nampak dan membelek-belek jam di tangannya. Lelaki itu senyum dan mengangguk padaku.

Baru aku teringat, aku berbual dalam Bahasa Inggeris dan Arab campur sikit Bahasa Melayu tadi dalam telefon. Sebab itu panggilan dari suamiku. Di sebalik niqabku, aku senyum. Lebar.












Wednesday, October 26, 2011

I am Married and Deep In Love. Don't You Get It?


Aku sungguh tak berapa gemar nak menjawab soalan yang begini.
Sebab bagi aku tak perlu pun aku jawab, dan tak perlu pun aku disoal.

"Macamana awak kenal suami awak?"
"Jauhnya beza umur awak dengan suami awak ya...?"
"Kenapa awak kahwin dengan dia?"
"Ada gaduh-gaduh tak?"
...........perlu ke?

Lagi menjengkelkan bila aku dapat soalan yang macam ini.
"Kau isteri yang baik ya...?"
"Kau bahagia dengan dia?"
..........patut ke??

          Bagi aku senang je. Jodoh itu kan subjektif ~ penentunya ialah Yang Di Atas Sana. Bagaimana kita jatuh cinta juga, bukan kuasa kita untuk merencanakannya. Kalau kita berusaha segigih mana pun untuk memiliki sesuatu, namun jika sesuatu itu bukan hak kita, maka kita tidak akan memilikinya. Larilah sejauh mana pun, jika itu yang tertulis untuk kita, bagaimana lagi mahu menghindarnya.
          Susah atau tidak, sudah namanya perkahwinan. Perkahwinan itu perkongsian. Saling melengkapi, memberi dan menerima. Menyayangi dan memahami. Berkongsi dan membina kehidupan bersama. Berkongsi suka dan duka, berkongsi rasa dan jiwa. Dan tentulah berkongsi bilik dan tempat tidur, berkongsi bantal dan selimut (hehe..)
          Jauh dekatnya beza usia, bukan penentu keserasian. Usia juga bukan faktor untuk jatuh cinta. Bukan nilai tambah kebahagiaan. Itu hanya angka yang kita bawa. Macam satu iklan yang sebut macam ini.. " Usia? Hanya pada angka. Bukan pada rupa..." Haha.. Saya suka, saya suka. Ok, sebenarnya aku rasa bertuah dengan perbezaan usia yang ketara antara aku dan suamiku. Ramai juga kawan-kawan aku yang suaminya lebih berusia 3 ke 8 tahun. Tapi macam aku yang ganda bertahun-tahun, ada? Tak ada kan....(agaknya lah)
           Persoalan yang tidak akan dapat dijawab oleh sesiapa pun ialah tentang kenapa dia ~ pasangan ~ itu yang menjadi pilihan. Apakah hak kita sebagai insan untuk memilih? Ya kita merancang, tapi siapa penentunya? Kita memberi cadangan, tapi siapakah yang meluluskannya? Sekuat mana pun kita berdoa, seingin mana pun kita berhajat, jika tiada Kun Fa Ya Kun dari Ilahi, maka ia tidak akan terjadi.
           "Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu. Bila Allah lambat makbulkan doamu maka Dia ingin mengujimu. Bila Allah tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu. Sentiasalah redha dalam apa jua keadaan pun, kerana kasih sayang Allah swt itu mendahului kemurkaanNya"
      ......dan sememangnya Allah Maha Mengetahui yang terbaik untuk hambanya. Kenapa, siapa dan bagaimana atau apa, janganlah dipersoalkan. Dia mengaturkan sesuatu kerana Dia Maha Tahu. Jangan sesekali disangkal. 
          Tentulah sebagai isteri, aku selalu juga tertanya-tanya adakah aku isteri yang baik untuk suamiku yang tercinta. Dan rasanya bukan aku seorang saja yang terfikir begini, kebanyakan isteri pun semuanya begitu kan. Persoalan ini sering menziarahi pemikiran. Banyak perbezaannya sebelum dan selepas berkahwin. Aku dan suamiku tidak bercinta sebelum berkahwin. Bertunang dalam jangkamasa yang singkat, tak sampai pun sebulan, dan berkahwin. Bercinta selepas kahwin. Berkat dan nikmat di situ. Dan pastilah banyak perkara yang kami tidak tahu mengenai diri pasangan masing-masing. Sebab itulah sampai sekarang, kami masih hangat bercinta (Ewah). Bagi aku, perkahwinan ibarat pelayaran. Samada sampai ke pelabuhan, atau karam di tengah lautan. Semua orang mahukan pelayaran yang sampai ke pelabuhan. Andainya karam, itu bukan kemahuan fikiran.
          Ucapan maaf itu, bagi aku sangat perlu. Kalau malu nak minta maaf secara berdepan, banyak cara lain yang boleh dibuat. Sms, mms..tulis surat cinta, bagi kad...awww romantik juga. Jarang orang buat, kan. Penting untuk tidak menggunakan orang ketiga sebagai pengantara, kerana ia selalunya memburukkan  keadaan. Perkahwinan adalah ikatan antara dua insan, bukan untuk dikongsi.
          Sedangkan lidah yang berada di dalam mulut pun boleh tergigit, inikan pula suami~isteri. Ada ke suami isteri dalam dunia ini yang tak pernah bergaduh-gaduh manja? Perkara biasa lah jika sesekali berselisih pendapat, kan. Aku selalu berharap dapat buat yang terbaik untuk insan yang bernama suami. Tapi kita tak dapat mengelak dari pertelingkahan, kadang-kadang sebab isu yang kecil atau hal orang lain pun boleh membawa masalah. Di sinilah pentingnya komunikasi dua hala ~ untuk memikirkan dan membuat keputusan yang paling baik.
         
          Dan paling penting ialah terima pasangan seadanya. Cintailah dia sepenuhnya. Kelebihan untuk disyukuri, kekurangan untuk diredhai. Itu yang terbaik dan di situlah letaknya bahagia.

Maka cukup-cukuplah mengungkit tentang usia, kisah cinta dan perkahwinan aku dan bahagia atau tidaknya perkahwinan kami. Kerana, Yes I am Young, Married and Deep in Love. Don't you get it?


~ Eeppss... Young lah sangat :p ~

* Entry ni macam kaunseling perkahwinan pun ada, kan..?*







Saturday, October 15, 2011

Hukum Karma

*Tajuk di atas tiada kena mengena dengan lagu rock itu*


Dulu-dulu masa zaman sekolah rendah, cikgu ajar macam ni.

"Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali".
Makanya aku tertanya-tanya sendiri dalam hati, buat jahat jangan sekali? Apakah itu? Kena banyak kali lah? Memang serius aku tak faham, maklumlah kanak-kanak pun namanya.


Dah besar sikit, barulah aku faham maknanya.
 Dan aku rasa patut tukar jadi macam ini...

"Buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sesekali pun...".
Barulah terang dan jelas maksudnya. Kan begitu?


Semenjak kebelakangan ini, aku makin percaya pada karma. Setiap perbuatan pasti ada balasannya.
Mengambil contoh dari peribahasa itulah, buat baik dibalas baik sudah tentu buat jahat dibalas dengan perbuatan yang setimpal. 

Bukan aku mendoakan sesuatu yang tidak baik, tetapi apa yang terjadi memang benar-benar membuatkan aku menginsafi bahawa kuasa ALLAH itu jangan dipersoalkan. Dia Maha Mengetahui apa yang kita fikirkan, dan Maha Arif pada apa yang terdetik walau sebesar zarah pun di ruang hati setiap insan.

Apa yang kita lakukan, apa yang kita tuturkan, apa yang kita niatkan, baik atau buruk, mulia atau zalim... semuanya pasti ada karma selepasnya. 
Dan ya, ini betul-betul kejadian. Bukan chobaannn.....


~ Hukum Karma, bukan kurma, bukan juga KamaSutra ~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...