Saturday, October 15, 2011

Hukum Karma

*Tajuk di atas tiada kena mengena dengan lagu rock itu*


Dulu-dulu masa zaman sekolah rendah, cikgu ajar macam ni.

"Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali".
Makanya aku tertanya-tanya sendiri dalam hati, buat jahat jangan sekali? Apakah itu? Kena banyak kali lah? Memang serius aku tak faham, maklumlah kanak-kanak pun namanya.


Dah besar sikit, barulah aku faham maknanya.
 Dan aku rasa patut tukar jadi macam ini...

"Buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sesekali pun...".
Barulah terang dan jelas maksudnya. Kan begitu?


Semenjak kebelakangan ini, aku makin percaya pada karma. Setiap perbuatan pasti ada balasannya.
Mengambil contoh dari peribahasa itulah, buat baik dibalas baik sudah tentu buat jahat dibalas dengan perbuatan yang setimpal. 

Bukan aku mendoakan sesuatu yang tidak baik, tetapi apa yang terjadi memang benar-benar membuatkan aku menginsafi bahawa kuasa ALLAH itu jangan dipersoalkan. Dia Maha Mengetahui apa yang kita fikirkan, dan Maha Arif pada apa yang terdetik walau sebesar zarah pun di ruang hati setiap insan.

Apa yang kita lakukan, apa yang kita tuturkan, apa yang kita niatkan, baik atau buruk, mulia atau zalim... semuanya pasti ada karma selepasnya. 
Dan ya, ini betul-betul kejadian. Bukan chobaannn.....


~ Hukum Karma, bukan kurma, bukan juga KamaSutra ~






Wednesday, September 28, 2011

Amin Ya Rabb



Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu.
Bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu.
Bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Sentiasalah redha dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya.

Aku tahu, Allah sentiasa menyayangiku. Dan semua hambaNya.
Aku tahu, Allah sentiasa mengujiku. Dan semua hambaNya juga.
Aku tahu, Allah Maha Mengetahui semua yang terbaik untukku. Dan semua hambaNya.
Untuk setiap doaku, Amin ya Allah. Amin ya Rabbal Alamin.

Terima kasih di atas kasih sayangMu.

* Luahan hati penuh emosi. Zahir tak terucap *





Tuesday, September 6, 2011

Aku Seadanya



Terimalah seseorang itu seadanya. Kelebihannya untuk disyukuri, kekurangannya untuk diredhai.

Aku jumpa kata-kata ini dari FB seorang kawan. Memang menusuk ke kalbu.

Indeed.

Kadang-kadang kita terlupa dengan rahsia yang Allah beri. Kelebihan kita jadikan bahan untuk riak dan takbur. Kekurangan kita jadikan bahan kejian dan cemuhan. Kita lupa, sempurna sangatkah kita?

Aku. Banyak kekurangan sungguh dalam diri ini. Alhamdulillah kekurangan-kekurangan ini ada kalanya menjadi kekuatan untuk aku terus berdiri di bumi Allah ini.

Asalkan aku bersyukur dan tidak kufur akan nikmat yang Allah swt beri, aku yakin di situlah terletaknya bahagia.

"Barangsiapa yang bersyukur akan nikmatKu, nescaya akan Ku tambahkan lagi nikmat ke atasnya. Namun barangsiapa yang kufur dan ingkar atas nikmatKu, maka azabKu amatlah pedih" 
 ~Al-Quran~

Aku belajar untuk redha dan tidak mengeluh. Aku sentiasa bukakan hati untuk bersedia menerima kebaikan dan keburukan, kelebihan dan kekurangan. Aku sentiasa percaya setiap kejadian ~ pahit atau manis pasti ada hikmah yang terselindung.

Aku juga tahu, aku bukan sesiapa yang istimewa. Aku manusia biasa yang tidak lari dari membuat salah dan silap. Aku manusia biasa yang seperti manusia biasa yang lainnya, yang dianugerahi kelebihan dan kekurangan. Manusia biasa yang mempunyai insan istimewa di hatinya.

Dan aku mahu insan teristimewa di hatiku, menganggap aku seorang yang istimewa juga di hatinya. Kerana dia istimewa bagiku. Tempatku yang paling bahagia adalah di sisinya. Bahagiakah dia di sisiku?

Aku menerimanya seadanya. Maka aku juga mengharapkan dia menerimaku seadanya.






Friday, August 19, 2011

Yang Bernama Manusia



Sifat manusia, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.
Sering lupa untuk bersyukur dengan apa yang Allah swt beri.
Diberi satu, mahu dua.
Diberi batu, mahu permata.
Diberi betis, mahu bulu betis pula. Eh silap... Di beri betis, mahu paha.

Sifat manusia, sering menyalahkan takdir untuk setiap musibah.
Jarang sekali bermuhasabah untuk redha dengan Qada' dan Qadar dari Allah.
Mengapa Allah menguji aku begini.
Mengapa aku yang Allah uji.
Mengapa begitu...dan mengapa begini..

Sifat manusia, alpa untuk menghargai apa yang ada di depan mata.
Bila tiada, barulah teraba-raba mencari ke mana hilangnya ia.
Kalaulah dia tahu aku menyayanginya.
Kalaulah aku tunjukkan betapa aku memerlukannya.
Kalaulah...dan kalaulah...
Tapi, kalau itu sudah terlambat rupanya.

Sifat manusia, sering berfikir untuk mengundurkan masa.
Mahu mengulangi kenangan terindah dan mengubah sejarah.
Andai dapat ku undurkan putaran dunia, ingin ku ubah semula kata-kata dan tingkah laku ku yang salah.
Andainya dapat ku ulang semula di suatu zaman yang bernama remaja.
Andai detik yang berlalu dapat ku tarik semula.

Sifat manusia, mahu yang terbaik dari apa yang ada.
Sering mengharapkan keajaiban untuk merubah suasana.
Kalaulah kaca menjadi intan.
Kalaulah besi menjadi suasa.
Kalaulah belacu menjadi sutera.

Sifat manusia, memang begitukah?

Aku tidak mahu menjadi manusia yang sebegitu. Manusia yang sifatnya tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Aku juga tidak mahu menjadi manusia yang sering menyalahkan takdir. Aku tidak mahu tergolong dalam kelompok manusia yang tidak pandai menghargai apa yang ada di depan mata. Aku juga tahu, mustahil untuk mengundur masa untuk membetulkan kekhilafan lalu. Aku mahu redha, seredhanya dengan ketetapan yang tertulis di Luh Mahfuz.

Aku mahu menjadi seorang manusia yang tahu bersyukur.

Tetapi, aku ini namanya manusia.
Mahu atau tidak, sudah namanya manusia...maka sifatnya memang begitulah.

Aduhai.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...